Skip to main
Logo Malaysiakini

Azalina: Jangan guna agama untuk 'halalkan' eksploitasi seksual

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Azalina Othman berkata agama tidak patut digunakan untuk membenarkan pemangsa seksual mengelakkan hukuman melalui perkahwinan.

MP Pengerang menjawab kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff mengenai polisi terdahulu yang tidak bercanggah dengan agama Islam akan diteruskan.

Siti Zailah membuat kenyataan itu apabila ditanya jika beliau akan meneruskan usaha PH untuk mengakhiri perkahwinan kanak-kanak.

"YB, jangan guna agama untuk nafi atau manipulasi undang-undang yang melindungi kanak-kanak terutamanya Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

“Jangan benarkan pemangsa untuk gunakan alasan perkahwinan sebagai cara untuk mengelak atau membenarkan ekploitasi seksual,” gesa ciapan Azalina di laman sosial Twitter.

Beliau mengakhiri kicauannya dengan tanda pagar "#endchildmarriage" (akhiri perkahwinan kanak-kanak) and "#girlsnotbrides" (gadis bukan pengantin).

Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 diluluskan di parlimen ketika Azalina menjadi menteri undang-undang.

Sementara itu, bekas timbalan menteri pembangunan wanita, Hannah Yeoh (gambar, atas) turut meluahkan rasa bimbang berdasarkan rekod kenyataan Siti Zailah sebelum ini mengenai perkahwinan kanak-kanak bawah umur.

Yeoh merujuk kepada rekod Siti Zailah, yang baru dilantik sebagai timbalan menteri, sebagai merestui perkahwinan kanak-kanak, khususnya dalam perbahasan parlimen pada Julai 2017.

Dalam perbahasan parlimen April 2017, Zailah membidas anggota Parlimen Kulai Teo Nie Ching yang katanya, mempertikaikan mengapa Islam membenarkan perkahwinan di bawah umur.

Zailah meminta agar agama tidak dilibatkan dalam perbahasan usul Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, kerana katanya, jenayah seksual- yang merupakan “keganasan”- berbeza dengan perkahwinan- yang merupakan “doa dan restu”.

Katanya, Islam membenarkan perkahwinan bawah umur dan tidak boleh dipertikaikan kerana ia "suruhan Allah."

Ketika ditanya semula mengenai isu perkahwinan bawah umur semalam, Siti Zailah berkata: "Saya tak menentang perkara untuk kebaikan, Islam lebih lagi nak membawa masayrakat kepada kebaikan, cuma kita letakkan landasannya al-Quran dan hadis. Itu yang kita pegang.

“Jadi insya-Allah setakat ini kita meneliti, mana-mana yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan hadis, kita terima. Yang bercanggah, mungkin kita rujuk ulama, tengok suasana, keadaan dan masa yang sesuai,” katanya.

Selasa lalu, anggota kabinet Perikatan Nasional telah mengangkat sumpah.

Kabinet baru itu dibentuk dalam masa dua minggu selepas PN berjaya merampas kerajaan pusat daripada PH.

Susulan daripada gerakan yang dinamakan Langkah Sheraton, bekas timbalan presiden PKR Azmin bersama 10 anggota parlimen lain keluar parti dan menyertai Bersatu.

PN terbentuk selepas kem Bersatu pimpinan Muhyiddin bertindak keluar PH sehingga mengakibatkan keruntuhan kerajaan pusat.

Situasi itu membawa kepada krisis politik yang menyaksikan Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan selaku perdana menteri ketujuh.

Pada 1 Mac lalu, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri dan membentuk PN dengan sokongan Umno, PAS, GPS.

Setakat ini, PN berjaya merampas Johor, Melaka dan Perak apabila majoriti anggota parlimen menukar sokongannya. 

[Baca berita asal]