Skip to main
Logo Malaysiakini

Salim Bashir dipilih presiden Badan Peguam

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Salim Bashir Bhaskaran dipilih sebagai presiden baru Badan Peguam Malaysia bagi penggal 2020/2021.

Beliau akan dibantu oleh naib presidennya, Surindar Singh Chain Singh, setiausaha, AG Kalidas Krishnan dan bendahari, Mohamad Ezri Abdul Wahab.

Kesemua anggota tersebut dipilih hari ini sewaktu Majlis Peguam mengadakan mesyuarat pertamanya bagi penggal 2020/2021 yang dihadiri 38 anggota.

Pemilihan ahli majlis peguam berkenaan dibuat semasa pemilihan Badan Peguam Malaysia beberapa minggu lalu.

Terdahulu, mesyuarat agung tahunan (AGM) merekodkan jumlah kehadiran paling sedikit dengan hanya 87 ahli hadir sehingga jam 12.15 tengah hari.

Jumlah kehadiran yang kecil itu dipercayai berikutan kebimbangan terhadap penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

Mesyuarat tersebut pada asalnya dijadualkan pada jam 10 pagi di Wisma MCA, tetapi kemudiannya ditangguhkan kerana tidak mencukupi korum 500 anggota.

Menurut Akta Profesion Undang-undang 1976, sekiranya korum tidak mencukupi, mesyuarat tersebut mesti ditangguhkan selama sejam.

Selepas itu, mesyuarat agung tahunan akan membentuk korum tanpa mengira jumlah yang hadir.

Sehingga kini, Badan Peguam Malaysia mempunyai seramai 19,787 anggota. 

Bercakap dalam sidang akhbar pertamanya selaku presiden baru, Salim berkata kesemua 12 usul dikeluarkan daripada AGM disebabkan jumlah kehadiran yang rendah.

Ia akan dibentangkan lagi dan dibahaskan apabila majlis itu memutuskan tarikh AGM apabila wabak Covid-19 reda.

AGM hari ini menyaksikan minit mesyuarat, akaun kewangan dan usul berkanun lain yang diterima pakai diluluskan.

Gesa kedaulatan undang-undang, IPCMC

Salim berharap kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan menegakkan kedaulatan undang-undang dan menghapuskan undang-undang drakonian seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Hasutan 1949.

"Kami juga menggesa kerajaan mengkaji pindaan perlembagaan untuk memisahkan (peranan) Peguam Negara dan Pendakwa Raya," katanya.

Beliau seterusnya menggesa PN meneruskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) - satu inisiatif yang dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

"Majlis Peguam juga menyeru kerajaan meneruskan usaha yang baik dilakukan oleh kerajaan terdahulu dalam menubuhkan IPCMC [...]

"Kami menggesa menteri undang-undang (Takiyuddin Hassan) melihat untuk membentangkan Akta Profesion Undang-undang yang baru dalam sidang parlimen akan datang," kata Salim.