Skip to main
Logo Malaysiakini

Maszlee: Pengajaran Jawi diperkenal sebelum Bersatu ditubuhkan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik hari ini menyangkal kenyataan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkenaan pengenalan tulisan Jawi untuk murid Tahun 4, termasuk di sekolah vernakular, yang menjadi antara isu terhangat sepanjang pentadbiran PH.

Dalam satu hantaran Facebook bertajuk "Surat kepada Tun: Penjelasan mengenai isu Jawi", yang disiarkan hari ini, Dr Maszlee berkata rancangan itu sebenarnya telah dimulakan pada 2014 dan diluluskan dalam Jawatankuasa Kurikulum Kebangsaan setahun kemudian, bukannya baru dibuat ketika beliau menjadi menteri pendidikan.

Beliau merujuk semakan Kurikulum Sekolah Rendah (KSSR) yang dibuat pada 2014, yang ingin memperkenalkan tulisan Jawi - ketika itu dipanggil "seni khat" - untuk antara lain mengembangkan kamahiran membaca serta mempelajari aspek seni bahasa dan tatabahasa.

"Tun, perancangan pengenalan tulisan khat ini dimulakan pada 2014 lagi...Sebelum semakan semula KSS ini pun, pada 2015, Kementerian Pendidikan telah perkenalkannya kepada pelajar Tahun 5 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dalam buku teks Bahasa Melayu cetakan 2015.

"Waktu itu Bersatu pun masih belum ditubuhkan. Saya cuma seorang pensyarah biasa, tiada kena mengena dengan pembentukan KSSR dan semakan semula terhadapnya.

"Justeru adalah salah untuk mengatakan PH atau saya yang menyuruh orang Cina belajar tulisan khat (Jawi)," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Mahathir ketika wawancara bersama Sinar Harian pada 12 Mac lalu, yang antara lain menyifatkan pengenalan tulisan Jawi sebagai tindakan "menimbulkan masalah yang (pada asalnya) tiada masalah".

"Jawi ini dulu kita tak minta MCA terima pun...Tapi bila PH perintah, menteri pendidikan nak orang Cina belajar tulis khat. Apa perlunya kita suruh orang tulis Jawi?

"Selama 60 tahun kita tak pernah dengar MCA tolak Jawi sebab kita tak suruh dia belajar. (Apabila) kita tiba-tiba suruh (murid bukan Melayu belajar Jawi dan timbul bantahan), kata 'tengok dia tak mahu ikut kita'," kata bekas perdana menteri itu.

 Maszlee berkata lagi, beliau tidak memilih untuk berdepan dengan isu itu dan tumpuannya sepanjang menjadi menteri adalah terhadap reformasi sistem pendidikan.

"Namun sebagai menteri pendidikan pada waktu itu, saya perlu menggalas tanggungjawab dengan menangani isu ini, dan menghormati keputusan yang telah disepakati oleh Kementerian Pendidikan sekian lama.

Dr Maszlee mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan pada 2 Jan lalu.

Katanya, ketika meletakkan jawatan, Jawatankuasa Kajian Dasar sudah hampir memuktamadkan syor untuk mengubah sistem pendidikan secara keseluruhan dan boleh dilaksanakan bermula hujung tahun ini.

"Itulah fokus paling utama saya, selain meringankan beban guru, meningkatkan akses pendidikan kepada OKU dan B40, STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), kebebasan akdemik, kualiti pendidikan peringkat sekolah dan peringkat tinggi, kerjasama pendidikan dengan industri, dan juga menyelesaikan masalah sekolah daif terutamanya di Sabah dan Sarawak," katanya lagi.

Dalam wawancara itu, Mahathir turut menyuarakan pendiriannya bahawa tulisan Jawi hanya perlu dipelajari oleh pelajar Melayu sahaja.

"Kita nak kena baca Quran, kena tahu Jawi. Tapi orang Cina tak baca Quran, tak payah tahu Jawi. Mereka nak belajar bahasa dan tulisan mereka," katanya..


Baca: Menjawab persoalan tulisan khat dalam subjek BM darjah 4


'Dengar daripada orang yang tepat'

Bermula dengan enam halaman ketika pertama kali diumumkan, kandungan berkenaan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun 4 dikurangkan kepada tiga halaman selepas mendapat bantahan.

Selain itu, Kementerian Pendidikan ketika itu juga memutuskan ia akan dilaksanakan secara pilihan, dengan guru diberi kuasa menetapkan sendiri kaedah pelaksanaannya.

Menteri Pendidikan baru, Mohd Radzi Md Jidin sebelum ini berkata akan menjadikan pengenalan tulisan Jawi sebagai salah satu perkara yang perlu diberi perhatian.

Maszlee berkata beliau telah memberi penjelasan berkenaan isu tulisan Jawi "sudah lebih sepuluh kali", sama ada kepada pihak awam dan juga kepada Mahathir, Kabinet PH dan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

"Namun saya dapati masih terdapat salah faham dan fakta terhadap isu ini yang juga boleh mengelirukan ramai orang. Saya harap dengan penjelasan ini, salah faham yang wujud boleh diperbetulkan. Saya bersedia menjelaskan lagi jika perlu.

"Sudah sampai masanya, Tun, untuk kita mendengar penjelasan dari orang yang tepat, bukan hanya dari orang-orang yang terdekat dengan kita sahaja," katanya lagi.