Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: 11 kes baru di Sarawak

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sarawak mencatatkan 11 kes baru jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah kes bagi negeri berkenaan sebanyak 20 kes.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, lapan daripada kes itu dikesan di Miri.

Lapan pesakit berkenaan mempunyai kaitan dengan acara agama (ijtima’ tabligh antarabangsa) di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur antara 27 Februari hingga 1 Mac.

Tiga lagi kes dikesan di Kuching, Sarikei dan Bintulu.

“Kami merayu mereka yang telah menghadiri acara agama di Masjid Sri Petaling, KL untuk melaporkan diri ke hospital kerajaan terdekat atau pejabat kesihatan bahagian dengan segera,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.

Jawatankuasa itu turut menasihati orang awam untuk menangguhkan semua perhimpunan yang melebihi 50 orang.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang dalam usaha mengesan kesemua 14,500 rakyat warganegara Malaysia yang menghadiri perhimpunan tersebut untuk dilakukan saringan kesihatan.

Sebahagian warga asing yang turut hadir, termasuk dari Singapura dan Brunei, dilaporkan telah membawa wabak itu ke negara masing-masing.