Skip to main
Logo Malaysiakini

Doktor nasihat hentikan sementara sembahyang jemaah di masjid

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Seorang doktor menggesa semua sembahyang berjemaah di masjid dihentikan buat sementara waktu, susulan wabak Covid-19.

Pakar pernafasan Dr Helmy Haja Mydin berkata, ia bagi membendung penularan wabak itu terutama di kalangan pekerja asing.

Katanya, langkah itu tidak seharusnya melibatkan sembahyang Jumaat sahaja.

"Semua solat jemaah harus diberhentikan untuk sementara waktu.

"Jika tidak, bilangan kes Covid-19 akan melebihi daripada apa yang boleh dikendalikan Kementerian Kesihatan," katanya di Twitter hari ini.

Ciapannya itu turut melampirkan makluman daripada Kementerian Kesihatan berkenaan kes Covid-19 yang mempunyai kaitan dengan himpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi setiap kes positif Covid-19, pihak berkuasa akan melakukan pengesanan kontak untuk mengenal pasti individu lain yang pernah membuat kontak dengan pesakit.

Helmy berkata, pengesanan kontak untuk pekerja asing tidak akan berjaya.

"Terima kerugian jangka pendek untuk kebaikan jangka panjang," katanya lagi.

 Ketika dihubungi Malaysiakini kemudian, doktor yang berkhidmat di Hospital Pantai Kuala Lumpur itu memberitahu dia tidak ada apa-apa data yang konkrit berkenaan pekerja asing dan Covid-19.

"(Tetapi) kita tahu berdasarkan pengalaman bahawa misalnya ada pekerja asing yang tidak mendapat rawatan ketika menunjukkan simptom.

"Ada pelbagai faktor: Mereka tak boleh tinggalkan kerja, akan didenda jika ambil cuti, tidak mampu untuk membayar rawatan, sejumlahny masuk secara tidak sah dan tidak mahu berhubung dengan pihak berkuasa.

"Ada juga yang tiada alamat tetap dan juga halangan bahasa," katanya lagi.

Kesemua faktor ini menyebabkan sukar untuk pekerja asing mendapatkan rawatan yang sepatutnya, katanya.

"Dengan mengambil kira faktor-faktor ini, ia boleh menyebabkan pengesanan kontak jika ada kes positif (di kalangan pekerja asing) sukar dilakukan," katanya lagi.

Berkenaan kes Covid-19 melibatkan himpunan Tabligh yang diadakan pada 27 Feb hingga 1 Mac, Kementerian Kesihatan menganggarkan sejumlah 16,000 yang hadir dengan sebahagian besarnya merupakan warga Malaysia.

Semalam, Kementerian Kesihatan berkata telah berjaya mengenal pasti 4,942 orang yang menyertainya.

Sementara itu, bekas perdana menteri Najib Razak turut menggesa kerajaan mengambil tindakan bagi membendung penularan Covid-19 susulan insiden itu.

"Melihat kluster berkait tabligh Masjid Seri Petaling semakin serius, saya harap kerajaan PN akan timbang untuk mengarahkan semua masjid jalankan proses nyahkuman mandatori, dan sekurang-kurangnya benarkan rakyat memilih untuk menggantikan solat Jumaat dengan solat Zohor di rumah," katanya di Twitter.

Setakat ini di Malaysia, hanya Perlis yang telah mengeluarkan arahan sedemikian, menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad menyatakan belum ada keperluan untuk menggantungkan sembahyang Jumaat, tetapi memberikan beberapa garis panduan, antaranya khutbah perlu dipendekkan dan pihak masjid disarankan untuk menyediakan topeng muka dan cecair pembasmi kuman.