Skip to main
Logo Malaysiakini

Masjid di Kelantan ditutup sementara untuk proses disinfeksi

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sebuah masjid di Kota Bharu, Kelantan, ditutup mulai semalam selepas dikenal pasti menjadi persinggahan anggota jemaah Tabligh yang turut menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dua minggu lalu.

Tinjauan Malaysiakini di Masjid Taman Seri Keranji di Kampung Kubang Keranji, mendapati ia ditutup untuk proses disinfeksi (penyahkuman).

Pengerusi Masjid Taman Seri Keranji, Mohamed Daud, berkata masjid berkenaan menjadi persinggahan seramai 11 anggota jemaah Tabligh selama lima hari untuk menjalankan kegiatan dakwah di sekitar kampung tersebut.

"Mereka datang minggu lepas selama lima hari dan tinggal di masjid sebelum ke lokasi lain.

"Kesemua mereka adalah penduduk luar Kelantan dan datang untuk aktiviti tabligh sebelum berpindah ke masjid lain.

"Jadi masjid ini ditutup sejak pagi semalam selepas kakitangan Jabatan Kesihatan membuat pembersihan dan akan dibuka semula beberapa hari lagi," katanya ketika ditemui.

Bagaimanapun Mohamed berkata pihaknya tiada maklumat terperinci berkenaan perkara itu, termasuk jika ada kalangan anggota jemaah Tabligh yang positif Covid-19.

"Semalam kami mendapat arahan supaya masjid berkenaan tidak digunakan untuk sementara waktu bagi proses pembersihan.

"Saya tidak tahu jika ada di kalangan jemaah Tabligh yang hadir itu positif Covid-19 atau sebaliknya," kata Mohamed.

Sementara itu, sumber Jabatan Kesihatan Kelantan berkata masjid tersebut dibersihkan sebagai langkah berjaga-jaga di tengah-tengah penularan Covid-19.