Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas MP diuji positif Covid-19, DAP S'wak arah ahli kuarantin diri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

DAP Sarawak mengarahkan semua ahli dan wakil rakyat yang pernah berhubungan rapat dengan Anggota Parlimen Sarikei Wong Ling Biu dalam tempoh 14 hari yang lalu untuk melakukan kuarantin diri.

Pengerusinya Chong Chieng Jen (gambar judul, atas) berkata ini bertujuan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan bagi membendung penyebaran Covid-19 selepas Wong dilaporkan positif ujian.

"Walaupun Kelvin Yee dan saya tidak mengalami demam, batuk atau sebarang gejala jangkitan virus, tetapi disebabkan sifat kerja kami yang berhubungan dengan orang ramai, kami telah pun menjalani ujian Covid-19 yang dilakukan oleh Hospital Umum Sarawak pagi ini," kata MP Stampin.

"Keputusan ujian akan diketahui esok. Sementara itu, kami berdoa supaya Wong Ling Biu lekas sembuh," katanya.

Sumber memberitahu Malaysiakini semalam bahawa Wong diuji positif Covid-19 beberapa hari selepas dimasukkan ke Hospital Sibu ketika selepas kembali dari Kuala Lumpur.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, pentadbiran Universiti Malaya mengesahkan satu kes positif Covid-19 yang melibatkan penceramah jemputan bagi suatu program diadakan di kampus utama di Petaling Jaya.

"Universiti Malaya (UM) telah dimaklumkan terdapat satu kes positif Covid-19 yang melibatkan seorang penceramah undangan di satu program yang telah diadakan di UM.

"Pihak Universiti mengambil serius mengenai perkara ini dan telah mengambil semua langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya seperti penutupan lokasi program tersebut untuk kerja-kerja disinfeksi berpandukan saranan dan nasihat oleh Pusat Kesihatan Daerah Lembah Pantai bagi memastikan langkah pencegahan dijalankan adalah selaras dengan prosedur dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM)," kata UM dalam suatu kenyataan kepada Malaysiakini.

UM berkata majlis itu berlangsung pada 28 Feb dan penceramah diuji positif pada 6 Mac.

Menurut UM lagi, tempat majlis itu diadakan telah ditutup sementara dan sejak itu telah dibersihkan dengan pembasmi kuman.