Skip to main
Logo Malaysiakini

CIJ: K'jaan, Facebook perlu ganding bahu tangani serangan maya pada wartawan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lebih banyak kumpulan tampil mengecam serangan maya ke atas wartawan Malaysiakini Kow Gah Chie, setelah satu hantaran Facebook menuduh laporannya yang memetik Menteri Alam Sekitar Tuan Ibraihm Tuan Man sebagai tidak benar.

Dalam satu kenyataan bersama, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan kumpulan hak asasi Article 19 menggesa semua pihak termasuk kerajaan dan Facebook untuk berganding bahu menangani ancaman terhadap kebebasan bersuara dan kebebasan kewartawanan seumpama itu.

Pengarah eksekutif CIJ Wathshlah Naidu berkata perkara itu mesti dilakukan bagi mengenal pasti langkah efektif yang menghormati hak asasi, bagi melindungi kewartawanan dan mengekang ucapan kebencian di dunia maya.

“Pertimbangan khusus harus diberikan terhadap risiko yang khususnya didepani oleh wartawan wanita,” kata Wathshlah yang turut menyeru Facebook melakukan libat urus dengan pertubuhan kemasyarakatan dan pengamal media, bagi memahami cabaran berkaitan dalam konteks tempatan.

“Tindakan pantas oleh Facebook dan platform media sosial lain penting dalam mengekang serangan dalam talian, yang selalunya melibatkan tindakan menyakat (trolling) dan mendedahkan maklumat peribadi (doxing).

"Setiap orang ada hak terhadap kebebasan bersuara, tapi kita juga mesti mengenal pasti kesan kandungan berunsur gangguan terhadap kewartawanan dan perbincangan awam.

“Kita perlu mencari jalan untuk melawan ucapan kebencian ini secara kolektif, dan menghentikan serangan maya terhadap wartawan dan pengamal media,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Program Article 19 Malaysia, Nalini Elumalai berkata wartawan wanita dan wartawan dari kumpulan minoriti lebih terdedah pada serangan seumpama itu sama ada di dalam talian mahupun di luar.

“Baguslah menteri itu (Tuan Ibrahim) pun mengecam serangan maya yang dasyat terhadap Kow Gah Chie, tapi kerajaan juga patut mempertimbangkan langkah seterusnya bagi melindungi wartawan dan melawan sikap tiada toleransi ini, sesuai dengan piawaian antarabangsa dan amalan terbaik,” kata Nalini.

Tuan Ibrahim semalam menyatakan beliau tidak bersetuju dengan serangan peribadi ke atas wartawan, walaupun dia bertegas bahawa silap faham, salah petik dari konteks sebenar dan rumusan tersasar adalah perkara biasa dalam pelaporan.

Timbalan presiden PAS itu merujuk serangan peribadi ke atas Kow, yang dimaki dan diperleceh di Facebook kerana satu laporan yang diterbitkan pada Rabu yang menyatakan Tuan Ibrahim mempertahankan pembalakan di Kelantan.

Pada Khamis, satu hantaran Facebook cuba menggambarkan laporan Malaysiakini itu tidak benar kerana soalan berkenaan tidak ditanyakan semasa sidang media Tuan Ibrahim sehari sebelumnya yang turut disiarkan secara langsung.

Kementerian Alam Sekitar kemudiannya mengeluarkan kenyataan mendakwa laporan Malaysiakini tidak tepat, bagaimanapun Malaysiakini mempertahankan laporan berkenaan yang berdasarkan temu bual dengan Tuan Ibrahim selepas acara merakam waktu kerja di Putrajaya.

Di bawah merupakan klip video temu bual tersebut.