Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno arah semua mesyuarat tahunan cawangan ditangguhkan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Umno hari ini mengumumkan bahawa semua mesyuarat parti itu di peringkat cawangan - yang bermula sejak 15 Feb lalu - akan ditangguhkan ke tarikh yang bakal dimaklumkan kemudian.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, menjelaskan keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan wabak Covid-19.

“Mesyuarat 21,039 Umno cawangan di seluruh negara yang telah bermula pada 15 Feb 2020 ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Ini adalah sebagai langkah berhati-hati akibat penularan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, dalam kenyataan berasingan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengeluarkan arahan melarang semua persatuan daripada mengadakan sebarang program, aktiviti, persidangan, perhimpunan atau mesyuarat agung hingga 30 Jun depan.

Jelas ROS, arahan khas itu dibuat sejajar dengan peruntukan di bawah Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966 bagi setiap peringkat pertubuhan, termasuk cawangan.

Untuk rekod, semalam Malaysia mencatatkan peningkatan mendadak sebanyak 190 kes kes positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan di negara ini 428 kes.

Sementara itu, Umno turut mengumumkan bahawa parti itu tidak akan menggalakkan sebarang program dari parti yang melibatkan orang ramai.

“Semua program Umno yang melibatkan orang ramai adalah tidak digalakkan buat masa ini dan dinasihatkan agar ditangguhkan,” katanya.