Skip to main
Logo Malaysiakini

Timbalan menteri KBS cabar Syed Saddiq untuk jawatan ketua Armada

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Pemuda Bersatu (Armada) yang disandang Syed Saddiq Abdul Rahman.

Hal itu dimaklumkan Wan Fayhsal kepada pemberita selepas menghantar borang pencalonannya di ibu pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya kira-kira jam 2.30 petang tadi.

"Saya bertanding bukan untuk jawatan atau membelakangi mantan ketua saya YB Syed Saddiq, tapi kerana saya telah diberi mandat oleh akar umbi dan juga majlis pimpinan tertinggi parti untuk menyertai pertandingan calon ketua Armada," katanya kepada pemberita.

Pengumuman Wan Fayhsal menjadikan jawatan tertinggi sayap pemuda itu akan ditandingi secara tig penjuru.

Sebelum itu, kira-kira jam 11 tengah hari tadi, Syed Saddiq turut dilihat hadir menyerahkan borang pencalonan untuk mempertahankan jawatannya.

Wan Fayhsal yang merupakan pengerusi biro perhubungan antarabangsa Bersatu adalah antara orang kuat Syed Saddiq dalam Bersatu.

Sebelum Langkah Sheraton yang mencetuskan krisis kepemimpinan Bersatu, Wan Fayhsal merupakan pembantu kepada bekas menteri belia dan sukan itu.

Namun, kedua-duanya berpaling arah setelah Wan Fayhsal mengambil keputusan menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang kini perdana menteri, sementara Syed Saddiq setia menyokong pengerusi Dr Mahathir Mohamad.

Pada 6 Mac, Wan Fayhsal mengumumkan menyokong Muhyiddin selepas beberapa hari anggota Parlimen Pagoh itu dilantik menjadi perdana menteri.

Tiga hari kemudian, ketika Muhyiddin mengumumkan kabinetnya, Wan Fayhsal turut tersenarai sebagai timbalan menteri di KBS- kementerian yang pernah diterajui Syed Saddiq.

Ditanya apakah itu bermaksud beliau diberi mandat daripada presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk bertanding jawatan ketua pemuda, Wan Fayhsal menjawab:

"Saya tak boleh cakap secara begitu. Yang pasti, saya mendapat sokongam daripada pimpinan tertinggi parti," jawabnya.

Katanya, agenda utamanya adalah untuk menyatukan parti dan memastikan pemerkasaan parti berjalan seperti biasa, dalam konteks baru parti itu yang kini menjadi sebahagian daripada komponen Perikatan Nasional (PN). 

Ini merupakan pemilihan kali pertama Bersatu sejak ditubuhkan 7 September 2016.