Skip to main
Logo Malaysiakini

Mufti Kelantan: Fatwa isu Covid-19 perlu bergantung keadaan negeri

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sebarang fatwa khususnya melibatkan aktiviti keagamaan seperti solat Jumaat susulan penularan Covid-19 perlu dibuat berdasarkan realiti semasa di negeri-negeri, kata Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad.

Menurut beliau, hukum penangguhan solat Jumaat adalah harus, tetapi perlu melihat realiti yang berlaku di sesebuah negeri itu.

"Kalau kita nampak perlu kepada penangguhan, kita tangguh sajalah. Tetapi bukan maksudnya kena buat keputusan sama, (setiap) fatwa negeri ia perlu melihat realiti negeri, bergantung keadaan di ngeri itu.

"Di Kelantan, kita belum dapat apa-apa petunjuk daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri.

"Kalau dirasakan tiba masanya, kita akan buat pengumuman. Lagi pula pihak yang berkuasa kepada sebarang aktiviti masjid ini adalah Majlis Agama Islam dan Adat-Istiadat Melayu Kelantan (Maik)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mendedahkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersetuju mencadangkan agar semua masjid ditutup selama 10 hari.

Dalam hantaran di media sosial, Asri berkata, cadangan itu berdasarkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia termasuklah bagi semua aktiviti di masjid termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah.

Bagaimanapun, Penolong Pengarah Kanan Seksyen Komunikasi Korporat Jakim, Nor Zaidan Ahmad berkata belum ada keputusan muktamad mengenai perkara berkenaan.

Kata Nor Zaidan, ia terlebih dahulu memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu Mohamad Shukri berkata, pihaknya setakat ini belum memutuskan sebarang penangguhan bagi aktiviti di masjid selepas merekodkan satu kes Covid-19.

"Kita di Kelantan setakat ini belum lagi memberi fatwa untuk tangguh solat Jumaat itu kerana realiti kita baru seorang yang kena. Kita pula tak boleh menghukum sesuatu keadaan melalui andaian, mesti berdasarkan fakta.

"Jadi kalau memang keadaan sudah tak terkawal itu lainlah. Sekarang kita terima laporan daripada pihak Jabatan Kesihatan, belum ada keperluan lagi.

"Aktiviti di masjid boleh berjalan seperti biasa, cuma saya mencadangkan masjid-masjid sediakan pembasmi kuman.

"Kalau masing-masing pakai topeng muka ke masjid tiada masalah, kalau tak mahu bersalam pun tak ada masalah, tak jadi isu besar," jelasnya.