Skip to main
Logo Malaysiakini

DUN S'gor mungkin tangguh mulai Rabu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dewan Undangan Negeri Selangor mungkin ditunda esok selepas pengumuman perintah kawalan pergerakan oleh kerajaan persekutuan.

Speaker DUN Ng Suee Lim memberitahu sesi dewan undangan negeri akan diteruskan pagi esok tetapi wakil rakyat mungkin mencadangkan untuk menangguhkan sidang.

"Saya fikir kedua-dua Adun kerajaan dan pembangkang akan setuju supaya sidang ditangguh.

"Jadi esok hari terakhir sesi DUN," kata Ng.

Speaker DUN itu memberi jaminan Dewan Undangan Negeri Selangor akan mematuh perintah Putrajaya itu.

Awal pagi tadi, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-14.

Bagaimanapun, istiadat memeriksa perbarisan dibatalkan.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata pembatalan itu dibuat atas permintaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mahu meringkaskan istiadat pembukaan DUN dan mengekang perhimpunan beramai-ramai.

Sidang DUN Selangor dijadualkan berlangsung dari 16 Mac ke 28 Mac ini.

[Baca berita asal]