Skip to main
Logo Malaysiakini

MIC tangguh mesyuarat cawangan seluruh negara

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

MIC memutuskan untuk menangguhkan semua mesyuarat cawangan parti itu di seluruh negara ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Setiausaha Agungnya, Asojan Muniyandy berkata keputusan itu sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan wabak Covid-19.

"Merujuk kenyataan media Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RSS) bertarikh 16 Mac 2020, MIC telah membuat keputusan untuk menangguhkan kesemua mesyuarat cawangan MIC seluruh negara mulai 16 Mac 2020, ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

"Selanjutnya, semua program MIC yang melibatkan orang ramai adalah tidak digalakkan dalam tempoh berkenaan. Ia adalah sebagai langkah berjaga-jaga akibat penularan wabak Covid-19," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, ROS dalam kenyataan melarang persatuan daripada mengadakan sebarang program, persidangan, perhimpunan dan mesyuarat agung sehingga 30 Jun depan.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac.

Perintah itu antara lain menyatakan premis kerajaan dan swasta - kecuali perkhidmatan penting - ditutup, pergarakan dan perhimpunan ramai dilarang, dan rakyat Malaysia tidak boleh ke luar negara.

Sementara itu, Asojan mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil mudah perintah kawalan pergerakan tersebut.

"Keadaan menjadi lebih buruk jika keputusan kerajaan untuk mengenakan perintah kawalan pergerakan di ambil mudah.

"Semua orang diminta hanya keluar dari rumah sekiranya ada keperluan sahaja," katanya lagi.

Semalam Malaysia mencatatkan 125 kes baru Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 533 kes.