Skip to main
Logo Malaysiakini

Susulan perintah kawalan pergerakan, perbicaraan Bung ditangguh selepas Mac

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Perbicaraan kes rasuah Anggota Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette A Samad, tidak akan diadakan sepanjang bulan ini, susulan perintah kawalan pergerakan yang diumumkan kerajaan semalam.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rozina Ayob membenarkan permohonan penangguhan itu yang dibuat peguam K Kumaraendran hari ini.

DPP Mohamad Fahdly Mohd Zamry tidak membantah permohonan itu.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac, bagi membendung penularan Covid-19.

Perintah itu antara lain menyatakan premis kerajaan dan swasta - kecuali perkhidmatan penting - ditutup, pergarakan dan perhimpunan ramai dilarang, dan rakyat Malaysia tidak boleh ke luar negara.

Ketika prosiding hari ini, Kumaraendran memberitahu susulan perintah itu, anak guamnya Bung Moktar perlu segera pulang ke Sabah dan berkhidmat di kawasan Parlimennya.

"Dia ada tanggungjawab terhadap kawasannya dan perlu pulang ke Sabah. Ini penting," katanya.

Katanya lagi, permohonan penangguhan itu juga dibuat kerana dia dan pasukan pembelaan perlu pulang ke pejabat mereka di Pulau Pinang, dan menguruskan beberapa perkara susulan perintah tersebut.

"Ini kerana mulai esok, semua pejabat (kecuali perkhidmatan penting) akan ditutup. Kami perlu memaklumkan kepada anak guam berkenaan perkara ini (kesan kes mahkamah ekoran perintah tersebut," katanya.

Rozina berkata pihaknya masih menunggu arahan lanjut daripada Ketua Pendaftar berkenaan sama ada mahkamah di seluruh negara juga akan ditutup sehingga 31 Mac ini.

Dia kemudian mengarahkan pendakwaan menyelesaikan pemeriksaan utama dengan saksi kelima, bekas ahli lembaga pengarah Felcra Habibah Suleiman, sebelum perbicaraan ditangguhkan.

Selepas pemeriksaan utama singkat oleh Fadhly, pihak terlibat ke kamar Rozina untuk mendapatkan tarikh perbicaraan lanjut.

Ketika ditemui selepas itu, Fadhly mengesahkan mahkamah menangguhkan perbicaraan bukan saja hari ini, tetapi untuk seluruh Mac.

Dia kemudian berkata, perbicaraan akan bersambung pada 10,17, 28 dan 29 April, 12 hingga 15 Mei, 10, 20, 27 hingga 29 Julai, 10 hingga 12 Ogos, 24 hingga 27 Ogos, dan 1 hingga 3 September.

Sementara itu, ketika perbicaraan hari ini, Rozina sempat bertanya keadaan kesihatan Bung selepas melihat pengerusi Umno Sabah itu memakai topeng muka.

Rozina: Anda tak sihat?

Bung: (Berseloroh) Koronavirus.

Rozina: Kalau betul, sudah lama saya panggil ambulans.

Ia mencetuskan ketawa semua yang hadir ke perbicaraan hari ini.

Semalam, Habibah antara lain berkata menteri kewangan ketika itu mengusulkan agar Felcra melabur sebanyak RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual, walaupun lembaga pengarah badan itu pada mulanya memutuskan untuk membuat pelaburan sebanyak RM50 juta sahaja.

Salah satu daripada tiga pertuduhan terhadap Bung adalah menerima rasuah RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, melalui Zizie.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan menteri kewangan kedua terhadap pelaburan Felcra tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Public Bank Taman Melawati Kuala Lumpur, antara pukul 12.30 tengah hari hingga lima petang pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung didakwa menerima rasuah RM262,500 daripada Madhi, melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund yang didaftar menggunakan nama Zizie.

Pertuduhan ketiga pula berkenaan menerima rasuah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund yang juga didaftar menggunakan nama Zizie.

Kedua-duanya didakwa dilakukan di bank sama pada 19 Jun 2015.

Ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM. Berdasarkan Seksyen 24(1) akta sama, sabit kesalahan membawa hukuman penjara tak lebih 20 tahun, denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan bergantung kepada nilai yang lebih tinggi.

Zizie juga dihadapkan dengan tiga pertuduhan subahat dengan Bung.