P Pinang peruntuk RM20 juta bagi kurangkan kesan Covid-19
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta akan disalurkan bagi membantu mengurangkan beban rakyat dalam berhadapan wabak Covid-19.
“Wang itu akan disalurkan kepada komuniti perniagaan, peniaga kecil, dan sesiapa yang terkesan oleh wabak itu,” katanya dalam sidang media hari ini.
Chow berkata pusat-pusat khidmat Adun di Pulau Pinang akan ditutup, bagaimanapun mereka yang terbabit hendaklah sentiasa bersiap sedia sekiranya berlaku kecemasan.
“Penjawat awam yang bukan dalam perkhidmatan penting, harus patuh bekerja dari rumah.
“Mesyuarat exco negeri akan diadakan seperti biasa, tapi hanya akan fokus kepada hal-hal yang penting sahaja,” katanya.
Tambah Chow lagi, kerajaan negeri melantik anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong sebagai pengerusi Perhubungan dan Pemerkasaan Rakyat (Communication and Citizen Empowerment) bagi membantu unit komunikasi ketua menteri.
Pulau Pinang mengenakan langkah yang ketat bagi menangani penularan virus itu selepas Putrajaya mengumumkan perintah kawalan pergerakan selama dua minggu dari 18 Mac hingga 31 Mac.
Setakat ini, 120 kes baru dicatatkan menjadikan kes keseluruhan sebanyak 673 kes. Daripada jumlah itu, 49 kes telah pulih sepenuhnya, manakala dua orang telah meninggal dunia.
Pagi ini, kerajaan Pulau Pinang mengisytiharkan semua tempat makan, termasuk lokasi penjaja, restoran dan kafe masih boleh beroperasi, tetapi pelanggan dilarang makan di kedai, sebaliknya hanya boleh membeli makanan untuk dibawa pulang.
Bagaimanapun, semua kedai yang menjual barang keperluan harian termasuk pasaraya dan pasar awam dikehendaki beroperasi seperti biasa.
Sementara itu, timbalan ketua menteri II Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata sebanyak RM1 juta diperuntukkan kepada masjid di peringkat negeri dan daerah untuk digunakan bagi menyediakan kelengkapan sanitasi di premis tersebut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai