Skip to main
Logo Malaysiakini

Rakyat Malaysia di Thailand bergegas pulang tanah air

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ramai rakyat Malaysia yang bekerja atau sedang bercuti di Thailand bergegas menempah penerbangan pulang ke tanah hari ini susulan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara yang akan berkuat kuasa mulai 18 hingga 31 Mac akibat penularan wabak Covid-19.

Mereka bergegas ke lapangan terbang pada awal pagi untuk memastikan bahawa mereka dapat pulang ke tanah air hari ini bagi mengelak menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari di bawah perintah itu.

Seorang pekerja yang berpangkalan di Pattaya, Low Ban Ching, sanggup melakukan perjalanan sejauh kira-kira 150 kilometer ke Bangkok semata-mata untuk menaiki penerbangan seterusnya ke Malaysia.

“Saya membaca mesej daripada rakan dan anggota keluarga di tanah air mengenai perintah kawalan pergerakan.

“Saya sedar saya perlu kembali ke Malaysia pada hari ini, jika tidak saya terpaksa menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin sendiri selama 14 hari.

“Nasib baik saya berjaya menempah tiket dari Bangkok ke Kuala Lumpur,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Lapangan Terbang Suvarnabhumi hari ini.

Sementara itu, seorang pekerja kontrak berasaskan projek yang hanya ingin dikenali sebagai Kah Yee berkata beliau memutuskan untuk pulang ke tanah air kerana perintah kawalan pergerakan mencetuskan ketidakpastian kepada pengembara.

“Saya tidak pasti sama ada tempoh itu akan dilanjutkan lagi selepas 31 Mac. Saya membuat keputusan segera untuk pulang ke tanah air sebelum perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengisytiharkan bahawa Malaysia akan diletak di bawah perintah kawalan pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac susulan penularan wabak Covid-19.

Muhyiddin berkata ia juga membabitkan sekatan komprehensif terhadap semua rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke luar negara dengan mereka yang kembali ke tanah air dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin sendiri selama 14 hari.

Sekatan itu juga meliputi kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara selain melarang rakyat Malaysia meninggalkan negara.

Bagi ahli perniagaan yang hanya ingin dikenali sebagai Thomas, 56, beliau membuat keputusan untuk mempercepatkan kepulangannya ke tanah air sebelum tarikh akhir.

“Saya ingin pulang ke tanah air sebelum perintah itu berkuat kuasa... saya memilih untuk kembali ke Malaysia,” katanya.

Pasangan suami isteri rakyat Australia, Rosemary dan David yang akan melakukan transit di Kuala Lumpur sebelum ke Sydney, berkata mereka membuat keputusan untuk terbang sebelum 18 Mac.

“Kami membaca mengenai perintah kawalan pergerakan Malaysia. Kami tidak pasti sama ada ia akan menjejaskan penerbangan kami.

“Kami tidak mahu mengambil risiko itu, jadi kami akan terbang untuk pulang ke tanah air kami lebih awal,” katanya.

- Bernama