Pakar: Ribuan tinggalkan Lembah Klang sukarkan pembendungan Covid-19
Ramai penduduk mula berpusu-pusu meninggalkan Lembah Klang sebelum perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa menjelang tengah malam ini.
Pada jam 10.20 malam, aplikasi trafik Google Maps dan Waze menunjukkan trafik luar biasa dari Lembah Klang menuju Lebuhraya Utara-Selatan pada kedua-dua arah utara dan selatan.
Perkara yang sama diperhatikan di sepanjang Lebuhraya Karak, dengan pemandu kebanyakannya memandu menuju ke arah Barat.
Wartawan Malaysiakini meninjau orang ramai yang beratur panjang di balai polis di Lembah Klang dan Nilai, Negeri Sembilan di mana mereka mendapatkan kebenaran untuk keluar dari sempadan negeri.
Saksi di lokasi juga memberitahu Malaysiakini bahawa stesen Terminal Bas Selatan penuh dengan orang ramai yang mahu meninggalkan Lembah Klang.
Orang ramai yang berada di stesen bas dan balai polis berkenaan juga dilihat tidak menjarakkan diri antara satu sama lain sebagai langkah mengelakkan jangkitan.
Pakar penyakit berjangkit Dr Christopher Lee memberi amaran bahawa aktiviti itu mungkin menyukarkan usaha menghentikan penyebaran virus Covid-19.
Bekas ketua di unit penyakit berjangkit Kementerian Kesihatan itu memberi amaran terdapat kemungkinan individu yang membawa virus itu di kalangan mereka yang cuba meninggalkan Lembah Klang dan berpotensi menyebarkan penyakit itu ke seluruh negara.
"Mungkin kita sepatutnya memahamkan orang awam berminggu lebih awal tentang apa langkah-langkah mitigasi yang berpotensi.
"Mereka perlu memahami rasional sekatan pergerakan. Ini akan menjadi cara yang tidak produktif jika mereka tidak faham, "katanya.
Begitu juga, doktor pakar, Helmy Haja Mydin, menyatakan bahawa "penghijrahan" beramai-ramai itu akan membawa kepada kesan kenaikan jangkitan Covid-19.
Beribu-ribu orang tidak perlu bekerja esok berikutan perintah kawalan pergerakan yang mewajibkan kebanyakan perniagaan ditutup sehingga 31 Mac.
Perintah itu bagi menghalang orang daripada berkumpul di tempat awam dan memastikan mereka duduk di rumah untuk melambatkan penyebaran Covid-19 , yang kini telah meragut dua nyawa setakat ini dan menjangkiti lebih 600 yang lain.
Bagaimanapun, kerajaan tidak mewajibkan orang ramai berada di rumah sepanjang tempoh perintah itu berkuat kuasa.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai