IGP tangguh arahan perlu kelulusan polis untuk ke negeri lain
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangguhkan arahan untuk orang ramai mendapatkan kelulusan polis bagi keluar ke negeri lain, susulan perintah kawalan pergerakan.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dalam satu kenyataan lewat malam ini, berkata keputusan itu dibuat selepas orang ramai berpusu-pusu untuk mengisi dokumen pelepasan di balai polis di seluruh negara.
"Memandangkan orang awam berpendapat bahawa mereka boleh melakukan pergerakan jika mereka mendapat kelulusan dari pihak polis, maka berlakulah kesesakan yang serius di balai-balai dan juga perhentian bas.
"Sedangkan hanya mereka yang layak diberi pengecualian sahaja yang boleh dipertimbangkan untuk diberi kebenaran melakukan pergerakan rentas negeri," katanya.
"Sebagai langkah awal untuk mengatasi masalah ini, maka keperluan untuk mendapatkan pengecualian di bawah perintah kawalan pergerakan ini ditangguhkan buat sementara waktu bagi menyelesaikan kesesakan dan kesulitan yang dihadapi oleh semua pihak terbabit," katanya.
Hamid sebelum itu berkata pengecualian itu hanya diberikan kepada mereka yang terpaksa melakukan pergerakan rentas negeri atas sebab-sebab berikut:
1. Kematian ahli keluarga terdekat.
2. Sakit tenat ahli keluarga.
3. Rawatan perubatan diri sendiri dan ahli keluarga.
4. Lain-lain perkara di atas budi bicara ketua polis balai.
Ini selaras dengan keputusan kerajaan mengenakan perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa tengah malam (18 Mac) hingga 31 Mac.
Perintah itu bertujuan membendung wabak Covid-19 daripada terus merebak.
Walaupun perintah itu bertujuan menyekat pergerakan, beratus-ratus rakyat Malaysia dilihat beratur di luar balai polis malam ini untuk mendapatkan kebenaran bagi pulang ke kampung halaman mereka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai