Arahan MKN 'punca' siswa berpusu-pusu balik kampung
Perintah kawalan pergerakan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepatutnya membataskan pergerakan orang ramai dalam usaha untuk mengekang penularan virus Covid-19.
Bagaimanapun, hal bertentangan sama sekali telah berlaku sebelum perintah itu berkuatkuasa tengah malam tadi, apabila orang ramai berpusu-pusu menyerbu stesen bas dan balai polis bagi mendapatkan permit keluar daerah untuk pulang ke kampung.
Siswa institut pengajian tinggi, antara mereka yang keluar beramai-ramai secara tergesa-gesa untuk pulang ke kampung.
Bagi para penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) pergerakan beramai-ramai itu tercetus apabila pihak keluar pekeliling universiti memaklumkan perintah kepada pelajar yang tinggal di kampus supaya mengosongkan bilik asrama mereka dan pulang ke rumah pada hari yang sama.
Majlis Keselamatan Negara melalui makluman soalan lazim (FAQ) sekitar jam 2 petang semalam kemudian memerintahkan semua pelajar universiti untuk pulang ke rumah masing-masing.
"Semua pelajar IPT awam dan swasta perlu diarahkan kembali ke kediaman masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
"Pelajar luar negara dinasihatkan pulang ke negara asal dalam tempoh ini," kata FAQ itu.
Sekitar jam 3 petang semalam, media sosial kecoh dengan laporan para pelajar antara orang ramai yang berpusu-pusu di Terminal Bas Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan, menunggu bas untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Ini meski pun kerajaan telah menasihatkan orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan lebih 50 orang.
Walaupun pakar perubatan telah memberi amaran terdapat risiko terhadap kesihatan awam apabila siswa universiti pulang ke kampung beramai-ramai, pihak berkuasa mengambil masa untuk bertindak balas.
Doktor pakar pernafasan Helmy Haja Mydin membuat hantaran di Twitter berkata:
"Saya pasti kawan-kawan saya di (Kementerian Kesihatan cukup terkejut ibarat) 'sedang hantuk kepala ke dinding'.
"Jumlah (jangkitan pesakit) akan bertambah. Dengan mendadak. Masa untuk bersiap untuk krisis katil (pesakit) dan lebih banyak kematian," kicaunya tadi malam.
Pada jam 5.30 petang semalam Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad membuat hantaran di laman Facebook peribadinya, menggesa pelajar agar tidak terburu-buru pulang ke rumah.
"Tindakan pulang tergesa-gesa dikhuatiri akan mengeruhkan keadaan dan mahasiswa akan lebih terdedah kepada wabak jika tidak melalui pamantauan yang rapi.
"Saya meminta supaya pihak Institut Pengajian Tinggi menyediakan penempatan sementara kepada para pelajar yang menghadapi kekangan untuk pulang ke kampung halaman.
"Saya juga meminta pihak Institut Pengajian Tinggi untuk memastikan pelajar mendapat akses makanan melalui kafeteria," kata beliau.
MKN kemudian menyemak semula arahan terdahulunya pada jam 7.30 malam semalam dan mengeluarkan perintah baru.
"Pelajar mempunyai pilihan untuk pulang ke tempat, negara asal atau terus berada di dalam kampus masing-masing," katanya pada FAQ yang kedua.
Noraini dikritik hebat netizen yang mendakwa kerajaan lambat bertindak balas dalam menyekat pergerakan beramai-ramai pelajar yang tidak perlu itu.
Bagimanapun, Noraini mempertahankan dirinya malam tadi menjelaskan pada situasi sebegini semua arahan datang daripada MKN, manakala semua menteri, kecuali Kementerian Kesihatan perlu mengelakkan mengeluarkan kenyataan supaya orang ramai tidak terkeliru dengan pelbagai kenyataan.
Perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa sehingga 31 Mac depan.
Hanya tempat-tempat perkhidmatan awam dan swasta penting sahaja yang dibuka sepanjang tempoh kawalan itu, termasuklah pasaraya, pasar awam dan kedai serbaneka.
Semalam, Covid-19 meragut dua korban pertamanya di Malaysia, seorang paderi Kristian, 60 tahun di Sarawak dan seorang pemuda berusia 34 tahun di Johor Bahru yang ikut serta perhimpunan Tabligh di Sri Petaling baru-baru ini.
Jumlah jangkitan wabak Covid-19 di Malaysia setakat semalam meningkat kepada 673 kes.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai