Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis siasat 40 kes sebar khabar angin Covid-19

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis telah membuka 40 kertas siasatan terhadap mereka yang menyebarkan khabar angin dan berita tidak sahih berhubung dengan Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed siasatan dibuat antara Jan hingga semalam di mana 11 kes akan dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang melibatkan kenyataan-kenyataan yang dikhuatiri mendatangkan khianat awam.

"Barang siapa membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita dengan niat hendak menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, atau kepada mana-mana golongan awam supaya oleh yang demikian itu seseorang mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau terhadap ketenteraman," kata peruntukan Kanun Keseksaan itu.

Huzir dalam kenyataan beliau hari ini menjelaskan 26 kes masih dalam siasatan manakala tiga kes diklassifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA) oleh timbalan pendakwa raya.

"Pihak polis ingin menggesa orang ramai untuk menghentikan sebarang kenyataan ataupun artikel yang tidak sewajarnya dimuat naik atau dikongsi di laman sosial dan sebagainya.

"Penularan kenyataan atau bahan-bahan berkaintan fakta isu dikhuatiri akan menimbulkan kerisauan dan mencetuskan kegentaran di kalangan masyarakat.

"Diingatkan bahawa tindakan memuat naik kenyataan atau artikel berkaitan perkara tersebut boleh mengakibatkan satu siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dijalankan.

"Pihak polis juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati sengaja mensensasikan isu berkenaan," kata beliau

Seksyen 505 (b) memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya manakala Seksyen 233, memperuntukkan hukuman penjara selama setahun, denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.