Skip to main
Logo Malaysiakini

Ramai orang masih ingkar, ambil mudah perintah - Polis

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Masih ramai orang awam yang ingkar dan mengambil mudah perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa mulai semalam sehingga 31 Mac, termasuk keluar bersiar-siar di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata hasil sekatan jalan raya yang dijalankan pihaknya mendapati rata-rata mereka memberi alasan tidak munasabah.

"Arahan kerajaan ini ialah untuk membendung penularan Covid-19, namun mereka tidak ambil berat, bersikap sambil lewa dengan menyatakan hanya keluar bersiar-siar, mahu membeli makanan seolah-olah ia tidak boleh didapati di kawasan mereka, mahu menghantar barang dan pelbagai alasan lain yang tidak munasabah.

"Kami bukan hendak menghukum tapi lebih kepada memberi peringatan kepada orang ramai bahawa perintah berkenaan sudah dikuatkuasakan dan tolong prihatin mengenai perkara ini," katanya ketika ditemui Bernama, malam tadi.

Tinjauan Bernama mendapati pertambahan jumlah kenderaan keluar masuk ke ibu kota kira-kira 11 malam tadi.

Dalam pada itu, sekatan jalan raya turut dilakukan di kawasan Petaling Jaya, Selangor.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata sekatan jalan raya itu akan diadakan berterusan sepanjang tempoh perintah kawalan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata pihaknya menyampaikan hebahan kepada penduduk dengan menggunakan pembesar suara di masjid-masjid sekitar Cheras supaya berada di rumah dan tidak keluar tanpa sebarang urusan penting.

"Rondaan anggota Unit Kereta Peronda juga dilakukan untuk memberi nasihat kepada orang ramai supaya tidak berada di luar kawasan kediaman mereka," katanya.

Di Pahang pula, ketua polis negeri, Abd Jalil Hassan berkata rata-rata yang ditemui dalam sekatan jalan raya memberikan alasan tidak kukuh untuk masih berada di tempat awam.

“Ada antara mereka memberikan alasan ingin melihat keadaan sebenar bandar Kuantan selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dan ada yang sekadar melawat rakan di kediaman mereka.

“Polis ingin menasihatkan orang ramai supaya duduk di rumah seperti saranan kerajaan dan tempoh dua minggu ini bukan masa untuk bersiar-siar atau untuk bersuka ria,” katanya dalam sidang media di Kuantan, malam tadi, yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali.

Abd Jalil juga berkata sekatan jalan raya untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai ini akan diteruskan setiap hari sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di semua 11 daerah di negeri ini dengan empat sekatan di setiap daerah.

7 anggota Polis Kontingen Pahang dikuarantin

Dalam sekatan jalan raya berkenaan, beliau berkata, pihaknya hanya memberi amaran dan nasihat namun tidak menolak tindakan boleh diambil mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 jika ramai yang masih ingkar.

“Hanya mereka mempunyai alasan kukuh seperti bertugas dalam perkhidmatan penting, mendapatkan rawatan di hospital atau membeli bahan makanan sahaja yang dibenarkan berapa di tempat awam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tujuh pegawai dan anggota Polis Kontingen Negeri Pahang disyaki menghidap Covid-19 dan kini sedang dikurantin bagi tempoh 14 hari di kediaman masing-masing termasuk lima orang di Pekan dan dua orang di Temerloh.

“Anggota di Pekan sudah dikuarantin sejak tiga hari lepas manakala pegawai di Temerloh dikuarantin mulai semalam. Mereka semua memang mempunyai kontak dengan pesakit yang positif Covid-19.

“Penyakit ini tidak mengenal umur dan latar belakang yang bermakna anggota polis juga boleh dijangkiti. Saya nasihatkan semua anggota polis yang bertugas supaya jaga kebersihan diri masing-masing dan dapatkan rawatan jika jatuh sakit,” katanya.

- Bernama