Skip to main
Logo Malaysiakini

'Bantu juga golongan miskin bandar, lunaskan sewa PPR'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Golongan miskin bandar yang menyewa rumah melalui Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) DBKL perlu diberikan pengecualian sewa sebulan, kata Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

Ini, kata Fahmi sebagaimana bantuan kerajaan kepada perniagaan yang menyewa premis DBKL.

"Saya ambil maklum pengumuman Menteri Wilayah, Annuar Musa bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak akan mengenakan sewa sebulan kepada perniagaan yang menyewa premis DBKL, serta bantuan kepada 500 pekerja harian DBKL.

"Namun saya berpandangan Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL tidak patut berhenti di situ.

"Lebih ramai warga kota terutama golongan miskin bandar boleh diberi pertolongan, contohnya dengan meluaskan bantuan ini kepada penyewa unit PPR dan Perumahan Awam (PA) DBKL.

"Saya difahamkan dari 42,000 akaun penyewa rumah PPR & PA DBKL, dianggarkan sekitar 50 peratus penyewa ini mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM1,000 sebulan," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Menjelaskan lanjut, Fahmi berkata DBKL mampu memberi sewa percuma sebulan yang akan melibatkan 20,000 keluarga berpendapatan rendah dan belanjawan bantuan ini cuma berjumlah RM2.5 juta sahaja.

"Saya percaya sekitar 20,000 keluarga ini sudah pasti menghadapi masalah pekerjaan dan pendapatan pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, dan pasti ramai di kalangan mereka - yang meniaga tepi jalan, yang melakukan pelbagai kerja kecil (odd jobs), yang mengasuh anak orang, dan lain-lain lagi - terkesan dari segi kewangan.

"Oleh itu, DBKL wajar dan mampu memberi sewa percuma sebulan terutama kepada keluarga-keluarga di PPR dan PA yang berpendapatan di bawah garis kemiskinan. Dianggarkan bantuan ini akan menelan belanja RM2.5 juta, atau 0.08 peratus bajet tahunan DBKL bagi 2020.

"Saya pohon bantuan tambahan ini disegerakan, demi kebajikan golongan miskin bandar," katanya lagi.