Skip to main
Logo Malaysiakini

MB Perak kongsi cara cuci tangan dengan betul

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dalam usaha menerapkan kesedaran di kalangan rakyat, Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu memilih untuk memuat naik video demonstrasi menunjukkan cara-cara mencuci tangan dengan betul.

Video itu dimuat naik semalam, pada hari pertama penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan di mana rakyat dikehendaki mengehadkan perjalanan keluar rumah, pada masa sama terus mengamalkan petua pencegahan, terutamanya kerap mencuci tangan dengan sabun.

Dalam video yang dimuat naik di Facebooknya itu, Faizal merakam dirinya sendiri mencuci tangan sambil menitipkan pesan buat penonton video agar sentiasa menjaga kebersihan.

“Kita nak cuci tangan ni selama 20 saat,” katanya.

Menariknya, sepanjang demonstrasi itu, beliau hanya menggunakan siku untuk membuka dan menutup pili.

“Kemudian yang paling penting, bila tangan dah bersih, mesti kita keringkan tangan kita. Ha itu paling penting,” katanya sambil mengoyak tisu dan mengelap tangannya yang basah.

“Kalau badan kita bersih, diri kita bersih, kita tak bawa kuman kepada keluarga, jiran tetangga dan sahabat semua, isya-Allah negara kita akan turut sihat,” katanya lagi.

Saranan mencuci tangan dengan sabun sering diberikan oleh pakar kesihatan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, masih ramai yang tidak mencuci dengan kaedah betul atau tidak memperuntukkan masa yang cukup untuk menggosok tangan masing-masing.

Hal ini penting memandangkan tangan merupakan anggota yang paling banyak menyentuh pelbagai objek yang berpotensi dicemari oleh virus yang membawa penyakit berkenaan, manakala manusia diketahui sering menyentuh muka mereka dengan tangan banyak kali dalam sehari.

Sekiranya tangan menyentuh muka tanpa dibersihkan dengan kaedah yang betul, terutama di bahagian mata, hidung dan mulut, terdapat kemungkinan virus itu boleh berjangkit.

Sementara itu, dalam video berasingan, Faizal turut mengajar penonton bagaimana pembersihan proses basmi kuman perabot-perabot di rumah.

“Kita sekarang ini berada di kediaman menteri besar Perak. Inilah rumah kerajaan yang saya tumpang sewaktu saya memegang jawatan ini.

“Ini adalah ruang tamu yang mana saya terima ramai tetamu yang datang berjumpa saya. Kita tak tahu tangan-tangan yang dah pegang perabot-perabot kita. Ini masa kita sanitize (basmi kuman),” katanya sambil menunjukkan botol pensanitasi dipegangnya.

Dia kemudian menyemprot pensanitasi itu ke salah satu meja dan mengelap menggunakan kain beberapa kali.

“Bukan apa, tangan yang mungkin membawa kuman dan kemudian kita pula pegang, begitulah caranya kuman berpindah dari seorang ke seorang. Kemudian kita pula, dari tangan yang dah kena kuman tu, pegang pula muka. Haa, itu yang bahaya tu. Dapat macam-macam penyakit.

“Jadi kita ambil peluang ni ya, kita ajak anak-isteri kita semua jaga kebersihan rumah,” katanya lagi.