Skip to main
Logo Malaysiakini

4,000 peserta Tabligh di Sri Petaling belum tampil

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kira-kira 4,000 peserta perhimpunan Tabligh antarabangsa di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur masih belum tampil membuat pemeriksaan, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, yang juga merupakan menteri penyelaras kanan.

“Saya faham ada kebimbangan terhadap kumpulan tabligh, seramai 4,000 lagi yang tidak dikesan.

“Pihak polis telah pun membuat keputusan untuk mereka sendiri mengesan, kumpulan tabligh yang masih belum tampil untuk buat saringan dan sebagainya,” katanya dalam sidang media yang distrim secara langsung di Facebook.

Sebelum daripada itu, kebanyakan aktiviti pengesanan kontak dilakukan oleh pemeriksa kesihatan.

Ismail Sabri turut menggesa mereka yang menyertai perhimpunan tabligh dari 27 Februari hingga 1 Mac, untuk tampil membuat pemeriksaan di pusat-pusat kesihatan.

Kira-kira 14,500 warga Malaysia dan 1,500 warga asing menyertai perhimpunan itu.

Beliau turut mengambil maklum mengenai 83 warga Malaysia yang pergi ke Indonesia untuk menyertai satu lagi perhimpunan tabligh yang setakat ini telah ditangguhkan.

Beliau memberi jaminan bahawa 83 orang itu akan dikuaratin sebaik tiba di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata bahawa sebanyak 10,650 peserta perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling telah dikesan setakat ini.

Dalam kenyataan di Facebook itu, dia turut berkongsi statistik yang menunjukkan bahawa daripada 3,072 keputusan ujian yang diperoleh, 513 didapati positif, iaitu pada angka 16.7 kadar positif.

Sebanyak 1,900 lagi ujian masih menunggu keputusan.

Tidak semua 10,650 peserta diuji memandangkan ujian hanya dibuat berdasarkan gejala yang ditunjukkan, namun begitu, meskipun tidak menunjukkan gejala, semua peserta diletakkan bawah pengawasan di rumah dan keadaan kesihatan mereka sentiasa dipantau oleh Kementerian Kesihatan.

Selain itu, Noor Hisham juga turut merayu agar semua peserta tabligh tampil membuat pemeriksaan kesihatan.

Perhimpunan tabligh merupakan kluster terbesar jangkitan Covid-19 di negara ini, meliputi 513 daripada 790 kes yang dicatatkan setakat ini. Sehingga hari ini, dua kematian dicatatkan.

Seramai 210,796 orang dijangkiti Covid-19 di seluruh dunia, dengan 8,843 kematian dicatatkan.

[Baca berita asal]