Skip to main
Logo Malaysiakini

Ismail: Tuduhan menteri tak ambil tahu isu Covid-19 satu fitnah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob menyangkal dakwaan bahawa para menteri bersikap acuh tak acuh dalam mendepani penularan wabak Covid-19.

Ismail yang juga menteri kanan berkata, setiap kementerian antara lain mengadakan mesyuarat khas setiap hari berkenaan krisis tersebut.

"Kami menteri jumpa setiap hari. Menteri juga tidak alpa dengan apa yang berlaku.

"Semua kementerian buat mesyuarat khas setiap hari...Setiap menteri setiap hari buat laporan terkini untuk mementerian masing-masing berkenaan isu Covid-19 ini.

"Tuduhan kata menteri tak ambil tahu perkara ini adalah satu fitnah," katanya pada sidang media hari ini yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Ismail berkata, beberapa menteri telah berhubung dengan rakan sejawat mereka di Singapura berkenaan status sejumlah 300,000 warga Malaysia yang bekerja di sana, susulan perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa semalam.

Perintah itu antara lain melarang warga Malaysia ke luar negara. Ia memberi kesan kepada mereka yang berulang-alik setiap hari ke Singapura untuk bekerja.

Beliau berkata lagi, kerajaan sedang mengadakan rundingan dengan kerajaan Singapura untuk membolehkan warga Malaysia yang bekerja di sana boleh tinggal di sana sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

"Ini dalam perbincangan dan insya-Allah kita akan buat pengumuman tak lama lagi," katanya.

Bagaimanapun Ismail mengakui bahawa timbul banyak kekeliruan pada hari pertama perintah larangan pergerakan semalam.

"Kami tahu semalam banyak kekeliruan timbul. Jadi kita telah putuskan, selain Majlis Keselamatan Negara, semua kementerian diminta buka talian hotline masing-masing.

"Ini agar apa-apa isu berkaitan dengan kementerian boleh ditujukan kepada kementerian itu, agar jawapan lebih jelas," katanya.

Beliau juga memaklumkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) setuju untuk menangguhkan pembayaran pinjaman ketika krisis Covid-19, dan Kementerian Pengajian Tinggi akan memberi perincian lanjut berkenaannya.