Skip to main
Logo Malaysiakini

Warga emas ditemui mati, disyaki dibunuh pembantu rumah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Seorang wanita warga emas ditemukan mati di rumahnya di Kulai, semalam, dipercayai dibunuh dua pembantu rumahnya.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kematian wanita berumur 73 tahun itu disedari jiran dan anak lelakinya yang berumur 40-an selepas mendapati mangsa gagal dihubungi.

Beliau berkata selain mangsa yang ditemukan mati di ruang tamu, sebuah kereta Toyota Alphard berwarna putih dan beberapa barangan kemas miliknya turut dipercayai dilarikan kedua-dua suspek yang merupakan pasangan suami isteri warga Indonesia.

“Unit Kereta Peronda (MPV) polis datang menyiasat ke rumah itu dan mendapati wanita warga emas itu sudah meninggal dunia. Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Setakat ini, kita (polis) mengenal pasti kedua-dua suspek berusia 21 tahun itu merupakan pasangan suami isteri dan menetap bersama mangsa di rumah berkenaan,” katanya dalam sidang media di Johor Bahru, hari ini.

Menurut Ayob Khan, dipercayai unsur ketidakpuasan hati dan balas dendam terhadap mangsa merupakan punca kepada pembunuhan itu.

“Kita percaya ketidakpuasaan hati menjadi penyebab dan mereka ini (suspek) baru 10 hari bekerja. Daripada siasatan dan kecederaan pada mangsa, kita percaya mungkin suspek membalas dendam padanya,” katanya sambil menambah kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kulai ASP Nazrol Bongsudi di talian 013-8958288 atau Pegawai Penyiasat ASP Wee Hock Lian di talian 019-7958008.

Dalam kes lain, Ayob Khan berkata pihaknya menahan 24 warganegara China dan seorang warga tempatan dalam serbuan di tiga unit kondominium di Iskandar Puteri, dua hari lepas, dipercayai menjalankan aktiviti pelaburan forex secara dalam talian.

Beliau berkata serbuan pada 4.30 petang itu dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

Katanya seramai 19 lelaki dan lima wanita warga China berusia antara 19 dan 50 tahun itu terlibat sebagai pemanggil yang akan menghubungi dan memperdaya mangsa untuk membuat pelaburan serta menjanjikan pulangan lumayan, manakala lelaki warga tempatan berusia 45 tahun itu pula bertindak sebagai penyelia.

“Turut dirampas dalam serbuan itu adalah 14 komputer riba, 84 telefon bimbit, enam modem serta empat komputer. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dengan kesemua 24 warga China itu kini ditahan reman selama 14 hari bermula semalam manakala lelaki tempatan itu pula direman selama tiga hari bermula semalam,” katanya.

-Bernama