Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekalan pusat darah kian kurang, penderma diperlukan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pusat Darah Negara meminta orang ramai tampil menderma darah bagi membantu menambah bekalan yang berkurang.

PDN berkata bekalan darah kini rendah dan kian berkurang ekoran pandemik Covid-19.

"Stok Pusat Darah Negara kini berada di paras yang rendah dan semakin menurun.

"Pihak Pusat Darah Negara ingin memohon jasa baik anda untuk tampil menderma darah dengan kadar segera," kata pusat itu menerusi hantaran di laman rasmi Facebooknya, hari ini.

Pusat itu berkata, orang ramai boleh Mid Valley Donation Suite, Suite Derma Darah PuspanitaPuri di Putrajaya, dan tabung darah di setiap negeri untuk berbuat demikian.

 Hantaran itu juga melampirkan panduan bagi mereka yang ingin menderma darah di saat penularan wabak Covid-19.

Katanya, setakat ini tiada bukti bahawa wabak itu boleh tersebar melalui pemindahan darah.

Bagaimanapun, katanya lagi, mereka yang disahkan positif wabak itu dilarang menderma darah selama 28 hari selepas tarikh mereka pulih.

Tempoh sama dikenakan terhadap mereka yang tidak menunjukkan gejala tetapi pernah menjadi "kontak rapat" dengan mereka yang disahkan atau disyaki positif Covid-19, katanya..

Mereka yang tidak menunjukkan gejala tetapi pernah ke China, Korea Selatan, Jepun, Italy atau Iran, juga dilarang menderma darah selama 28 hari selepas pulang ke Malaysia, katanya lagi.