Skip to main
Logo Malaysiakini

MAIPs agih borang mohon zakat di pos pengawal

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) komited membantu golongan asnaf yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah urusan utama yang melibatkan asnaf tetap diteruskan walaupun terpaksa menangguhkan urusan di kaunter pejabat MAIPs bagi tempoh perintah itu seperti yang diumumkan kerajaan.

“Sebagai alternatif, MAIPs mengambil langkah membuka kaunter di pos pengawal Bangunan MAIPs untuk mengagih dan menerima borang permohonan zakat daripada warga asnaf, bahkan perkhidmatan lain seperti semakan status permohonan bantuan.

“Penyata sumbangan oleh penyumbang, permohonan sewaan hartanah, aduan asnaf, termasuk sumbangan zakat, wakaf dan sumber am tetap boleh diteruskan melalui perkhidmatan dalam talian di portal MAIPs www.maips.gov.my,” titah baginda melalui satu sebaran media daripada pihak MAIPs hari ini.

Baginda bertitah, usaha ini adalah manifestasi komitmen MAIPs dalam melaksanakan amanah agihan zakat, bahkan turut melaksanakan pergiliran tugas untuk program turun padang dalam kes kecemasan atau bencana selain membuka kaunter bantuan terhad di Masjid Alwi, Kangar bermula 18 Mac lepas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, sebagai langkah memudahkan penyaluran bantuan, MAIPs turut menyalurkan peruntukan RM618,000 agihan zakat di bawah Program Agihan Ziarah Dakwah Bil Hal kepada masjid seluruh Perlis.

“Sebanyak RM154,500 telah dikhususkan untuk membantu golongan asnaf yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan seperti penjaja kecil, buruh harian dan seumpamanya sebagai langkah bantuan kecemasan untuk pembelian makanan dan keperluan terdesak mereka,” katanya.

Beliau berkata program itu juga adalah kesinambungan daripada program yang telah dilaksanakan pada tahun sebelum ini untuk memberikan bantuan segera bagi tujuan pembelian makanan atau kecemasan dengan hanya perlu bertemu amil atau ahli jawatankuasa kariah masjid di seluruh Perlis.

-Bernama