Skip to main
Logo Malaysiakini

Sekatan jalan raya: Pegawai kanan, 4 polis cedera dirempuh lori

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang pegawai kanan dan empat anggota polis trafik Kuala Lumpur cedera di beberapa bahagian badan selepas dirempuh sebuah lori ketika membuat sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan di Jalan Syed Putra di Kuala Lumpur, tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata kejadian berkenaan berlaku kira-kira 12.45 tengah malam.

Beliau berkata sepasukan pegawai dan anggota trafik itu sedang bersiap untuk menutup sekatan jalan raya di jalan berkenaan.

"Bagaimanapun, sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) dan beberapa motosikal milik anggota polis trafik itu.

"Hasil siasatan mendapati lori itu dipercayai telah hilang kawalan ketika berada di lorong kiri laluan kedua-kedua kenderaan polis trafik yang diletakkan di bahu jalan untuk tujuan sekatan jalan raya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkefly berkata kesemua mereka telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan sedang dirawat di zon hijau manakala pemandu lori terlibat tidak mengalami kecederaan.

"Polis menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya," katanya.

- Bernama