Muhyiddin pecat Marzuki dari jawatan setiausaha agung Bersatu
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dikatakan telah memecat Marzuki Yahya dari jawatan setiausaha agung Bersatu.
Sumber dari dalam parti itu berkata, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mengambil tindakan itu melalui surat bertarikh 18 Mac, yang diterima oleh Marzuki semalam.
"Surat itu bertarikh 18 Mac, tetapi dia (Marzuki) hanya dapat surat itu semalam (19 Mac).
"Muhyiddin memetik Perkara 13.9 perlembagaan parti Bersatu untuk menamatkan perkhidmatan Marzuki sebagai setiausaha agung tanpa penjelasan," kata sumber itu.
Marzuki yang dihubungi Malaysiakini mengesahkan menerima surat pemecatan itu.
Diminta mengulas sebab pemecatannya, Marzuki sekadar menjawab: "Saya pun tak tahu, tanya dia (Muhyiddin) lah."
Marzuki juga berkata beliau tidak akan membuat rayuan.
Sementara itu, sumber menambah bahawa tidak dapat dipastikan jika pemecatan Marzuki sah kerana perlembagaan menetapkan pelantikan setiausaha agung parti mesti dibincangkan dan mendapat persetujuan pengerusinya.
Untuk rekod, pengerusi Bersatu ialah Dr Mahathir Mohamad. Marzuki merupakan ketua setiausaha peribadi Mahathir.
Ditanya sama ada Mahathir dimaklumkan tentang perkara itu, sumber menjawab: "Sudah tentu tidak".
"Dalam satu atau dua hari seterusnya, kita perlu melihat tindak balas Tun (Mahathir) terhadap perkara ini, maka kita akan tahu (jika pemecatan itu sah)," kata sumber itu lagi.
Diketahui bahawa Muhyiddin dan Mahathir, walaupun berada dalam parti yang sama, berselisih susulan 'Langkah Sheraton' yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan membawa Muhyiddin memegang jawatan perdana menteri.
Muhyiddin mengetuai sekumpulan ahli parlimen Bersatu, bersama anggota parlimen yang meninggalkan PKR yang diketuai oleh Azmin Ali, membentuk kerajaan persekutuan bersama Umno, PAS, GPS dan beberapa yang lain.
Sementara itu, Mahathir mendapat sokongan kumpulan anggota Bersatu yang lain termasuk beberapa ahli parlimen, antaranya Dr Maszlee Malik dan Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai