Skip to main
Logo Malaysiakini

4,000 baki peserta himpunan tabligh sudah dikenal pasti

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri Pertahanan Ismail Sabri menggesa baki 4,000 peserta perhimpunan tabligh masjid Seri Petaling tampil menjalani ujian Covid-19.

Dalam sidang akhbar hari ini, Ismail berkata polis telah mengenal pasti individu-individu yang telah menghadiri perhimpunan itu pada 28 Februari lalu.

"Terdapat 4,000 hadirin yang saya sebutkan semalam yang belum datang atau secara sukarela pergi ke hospital atau klinik (untuk pemeriksaan).

"Polis telah memaklumkan dalam mesyuarat (hari ini) bahawa pihak polis telah pun mengenal pasti individu-individu tersebut.

"Jadi saya berharap tampil secara sukarela untuk buat pemeriksaan. Jangan sampai polis datang ke rumah untuk ambil mereka untuk dibawa ke klinik dan sebagainya," katanya.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan 900 kes Covid-19 dan dua kematian. Daripada jumlah itu, 576 kes dan satu kematian mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh berkenaan, dengan lima kes adalah dari Labuan.

Dalam perkembangan sama, polis Labuan mengesahkan telah menahan seorang individu berusia 68 tahun yang merupakan bapa kepada salah seorang peserta perhimpunan tabligh itu bagi memaksanya membuat ujian saringan.

Penahanan itu dibuat selepas individu itu enggan tampil membuat ujian saringan Covid-19 secara sukarela.

Dalam kiriman di Twitter baru-baru ini, seorang doktor perubatan berkongsi tentang seorang lelaki yang "berbohong" mengenai penyertaannya dalam perhimpunan tabligh dan kemudian diuji positif.

"Sekarang, semua kakitangan yang kontak rapat (dengannya) perlu dikuarantin dan mungkin dijangkiti," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah sebelum ini menasihatkan orang ramai agar mendedahkan perkara benar dalam memberi maklumat berkenaan dengan Covid-19.

Beliau berkata terdapat beberapa insiden minggu ini di mana pesakit menyembunyikan kenalan atau gejala mereka.

"Sejarah perjalanan dan maklumat kontak rapat, contohnya, yang dikaitkan dengan perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling juga tidak didedahkan.

"Hanya selepas prosedur klinikal dan rawatan selesai, maklumat kritikal seperti itu telah didedahkan," katanya.

"Adalah satu jenayah jika tidak mendedahkan atau menyembunyikan maklumat.

"Saya merayu kepada orang ramai dan pesakit untuk bersikap jujur dan tidak menyembunyikan maklumat sehingga membahayakan nyawa dan kemudahan perubatan kita," katanya.