Selepas PM, Agong pula titah rakyat patuh perintah kawalan pergerakan
Dua hari selepas perutusan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, malam ini Yang Di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pula bertitah agar rakyat mematuhi perintah kawalan pergerakan.
Titah baginda itu disiarkan di RTM dan TV3 sebentar tadi.
"Saya ingin mengajak agar rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Saya juga minta batalkan hasrat untuk balik kampung. Jangan berkumpul atau menghadiri sebarang aktiviti sosial di luar rumah.
"Saya juga menasihatkan rakyat agar tidak panik kerana bekalan barang keperluan dijamin cukup oleh kerajaan.
"Rakyat juga jangan suka sebarkan berita palsu," titah baginda.
Perintah yang berkuatkuasa sehingga 31 Mac itu untuk membendung jangkitan baru Covid-19. Ia berlangsung selama dua minggu, iaitu tempoh pengeraman virus tersebut.
Dalam pada itu, baginda menggesa rakyat Malaysia untuk menangguhkan majlis perkahwinan.
"Kepada ibu bapa pengantin, saya nasihatkan tangguh dulu majlis kenduri sehingga keadaan pulih," titahnya.
Baginda turut bertitah agar rakyat sentiasa menjaga kebersihan diri serta melaksanakan amalan yang mampu mencegah jangkitan wabak itu.
"...Dan yang paling penting jaga kebersihan diri, kerap basuh tangan, guna cecair pembasmi kuman serta topeng muka dan mulut, selain mengamalkan penjarakkan sosial," titahnya selain menyeru orang ramai memainkan peranan dalam membantu membendung penularan wabak itu.
Terdahulu hari ini, Sultan Abdullah membuat rondaan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor bagi memantau pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.
Terdahulu hari ini, baginda membuat rondaan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor bagi memantau pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.
Menurut Istana Negara, baginda antara lain memandu ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kawasan sekitar KLCC, serta berhenti untuk bertemu pegawai polis yang memantau lalu lintas di Jalan Semantan, Sri Hartamas, Jalan Loke Yew dan Jalan Ampang.
Baginda juga menjelaskan masih terdapat banyak kereta di jalan raya dan berharap ia akan berkurang secepat mungkin.
Hari ini merupakan hari ketiga perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.
Setakat ini Malaysia mencatatkan 1,030 kes Covid-19, dengan tiga kematian.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai