Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis nafi keluar saman ketika sekatan jalan di TTDI

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis menafikan mengeluarkan saman ketika melaksanakan sekatan jalan raya di hadapan Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di Kuala Lumpur, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi dalam satu kenyataan berkata, pegawai yang mengetuai sekatan jalan raya telah mengesahkan, tiada saman dikeluarkan ke atas orang awam yang keluar membeli barang.

Katanya, sekatan jalan raya yang diadakan lebih kepada memberi nasihat kepada orang awam untuk berada di rumah, jika tiada urusan penting.

"Pihak polis juga membuat sekatan jalan raya untuk memantau pergerakan orang awam yang keluar masuk, dan mengarahkan mereka terus ke rumah selepas selesai urusan kerja atau memberi barang keperluan," katanya.

Beliau berkata satu laporan polis telah dibuat susulan penyebaran berita palsu ini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 211/233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Orang awam diminta memberi kerjasama penuh kepada pihak kerajaan, dengan berada di rumah dan kurangkan pergerakan di luar rumah, jika tiada perkara penting atau kecemasan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai kemusykilan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan, boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 03-88882010 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian +603 2297 9222.

Hari ini, tular beberapa mesej menerusi aplikasi WhatsApp kononnya polis telah mengenakan saman ketika melaksanakan sekatan jalan raya di Balai Polis TTDI.

- Bernama