Skip to main
Logo Malaysiakini

Waktu operasi premis jual barang keperluan diputuskan k'jaan negeri

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Waktu operasi bagi premis yang menjual barangan keperluan diserahkan kepada kerajaan negeri masing-masing ketika larangan perintah kawalan pergerakan, kata Menteri Kanan Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata keputusan itu dimuktamadkan oleh pihak berkuasa tempatan kerajaan negeri.

“Yang itu bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Semalam, diputuskan bahawa sama ada pukul berapa kedai boleh operasi, kedai yang menjual barang-barang essential (penting), kita serahkan kepada peringkat negeri untuk putuskan, pukul berapa nak buka (kedai) dan pukul berapa nak tutup.

“Itu di bawah kerajaan negeri melalui PBT masing-masing,” katanya dalam sidang media di Perdana Putra hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai waktu operasi premis kedai sewaktu perintah larangan itu dilaksanakan.

Sebelum ini, kerajaan Pahang mengumumkan untuk mengetatkan waktu operasi premis perniagaan di beberapa daerah positif Covid-19 dengan menutup premis pada jam 7 malam bermula hari ini.

Antara premis yang terlibat merupakan kedai serbaneka 24 jam, kedai makan dan stesen minyak.

Hanya seorang ahli keluarga dibenarkan keluar

Sementara itu, Fadillah berkata berdasarkan garis panduan pergerakan sewaktu perintah larangan, hanya seorang dalam setiap keluarga dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan iaitu oleh ketua keluarga.

Namun, jika diperlukan lebih dari seorang, ia mestilah atas budi bicara pihak polis.

“Dari segi dasar, perkara ni kalau mengikut perintah larangan yang dibenarkan keluar, misal kata untuk membeli barang keperluan sama ada dia nak beli barang-barang makanan atau pun terpaksa beli ubat-ubatan, hanya dibenarkan seorang, ketua keluarga.

“Itu garis panduan asas. Tapi misalnya kalau terpaksa ada membawa orang, itu dia kena beri penjelasan kepada pihak polis. Pihak polis akan menggunakan budi bicara.

“Tapi misal kata kalau berlaku kematian, ini perlu diterangkan kepada pihak polis,” katanya lagi.

Pada 16 Mac, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memperkenalkan perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac.

Perintah berkuat kuasa selama 14 hari itu antara lain melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.