Skip to main
Logo Malaysiakini

MBPP larang menjaja di empat titik panas P Pinang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengenal pasti empat 'titik panas" yang menjadi lokasi penjaja melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac.

Datuk Bandar Yew Tung Seang berkata tindakan larangan berniaga berkuat kuasa esok, selepas peniaga-peniaga berkenaan gagal mematuhi nasihat atau cadangan yang diberikan oleh pihak berkuasa untuk membendung pandemik Covid-19.

"Termasuk larangan aktiviti menjaja di tepi jalan di Air Itam, Bayan Baru, Jalan Perak dan Jelutong, di mana orang ramai terus berkumpul, dan tidak ada jarak sosial yang diamalkan," kata Yew pada sidang akhbar di Komtar, di Pulau Pinang hari ini.

Yew berkata ramai sudah mematuhi arahan tinggal di rumah tetapi masih ada terdapat "titik panas" yang perlu ditangani oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kami akan meminta bantuan polis dan pihak penguat kuasa yang lain untuk melaksanakan tindakan terhadap mereka yang tidak mematuhi sepenuhnya PKP, " katanya.

Yew berkata demikian ketika menjawab soalan daripada pemberita mengenai pasar di beberapa lokasi yang terus padat walaupunmasuk hari keempat PKP.

Gambar-gambar yang diambil di pasar yang sesak telah tular dan mendapat kritikan ramai.

Semalam, Adun Bukit Tengah Gooi Hsiao Leung bekerjasama dengan majlis pembangunan dan keselamatan kampung untuk membantu mengatur langkah kawalan orang ramai di pasar basah di Juru, Bukit Mertajam.

Turut hadir ke sidang akhbar itu ialah Exco negeri Jagdeep Singh Deo dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Rozali Mahmud.

Jagdeep melaporkan bahawa sebanyak 253 premis telah diperiksa oleh MBPP pada hari pertama PKP.

Pada hari kedua dan ketiga (semalam) masing-masing 330 dan 1,250 premis diperiksa menjadikan jumlahnya 1,854.

Bagi, Majlis Bandaraya Seberang Prai (MBSP), 270 premis telah diperiksa, 1,644 pekerja berada di lapangan, manakala 167 kenderaan digunakan untuk membersihkan kawasan tersebut.

Sebanyak 267 anggota penguat kuasa memantau keadaan di lapangan, sementara 2,353 kakitangan MBPP bekerja dari rumah.

"Secara amnya pematuhan sangat baik, bagaimanapun, masih ada premis yang perlu mematuhi notis yang dihantar oleh majlis-majlis tempatan berhubung PKP," kata Jagdeep.

"Saya dimaklumkan, bahawa majlis-majlis tempatan telah menasihati premis-premis tersebut untuk mematuhi tetapi jika didapati melanggar, tindakan akan diambil secara efektif esok," katanya.

"Kami faham PKP telah memberi kesan kepada para peniaga kecil tetapi pengorbanan mereka diambil maklum dan dihargai oleh kerajaan tempatan dan majlis perumahan," tegas Jagdeep.

Setakat ini, Jagdeep berkata kadar pematuhan kepada PKP telah berada pada 80 peratus tetapi masih banyak ruang untuk penambahbaikan.

"Berkuat kuasa esok, tindakan seperti tarik balik lesen dan gerai akan dimeteraikan jika mereka tidak mematuhi PKP.

"Kedua-dua PBT terlibat akan mengambil tindakan yang sama pada mereka yang melanggar perintah," katanya.

Jagdeep berkata mereka juga meninjau kebersihan pangsapuri dan apartmen, di mana 212 bangunan sedang berada di bawah skim perumahan awam.

Sebanyak 120 pekerja bekerja di bangunan-bangunan ini setiap hari untuk memastikan kebersihan, tambah Jagdeep.

Beliau berkata Ketua Menteri Chow Kon Yeow telah meluluskan permintaan untuk 1,500 cecair pembasmi kuman untuk ditempatkan di 212 unit rumah awam.

Sementara itu, Rozali berkata, susulan PKP, pengeluaran sampah telah berkurang daripada 687 tan kepada 568 tan.

"Kami berharap dapat melihat angka yang lebih rendah dalam beberapa hari akan datang supaya kami dapat mengurangkan pekerja di lapangan, untuk memastikan pematuhan yang lebih baik terhadap PKP," katanya.

Beliau juga mengenal pasti lima titik panas di tanah besar - Sungai Dua, Penanti, Sama Gagah, Tanah Selamat dan Kampung Baru - yang akan dipantau dengan teliti.