Skip to main
Logo Malaysiakini

'24 kakitangan perubatan positif Covid-19, bukan sebab tak patuh prosedur'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sehingga kini terdapat 24 kakitangan perubatan yang telah disahkan positif Covid-19, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua pengarahnya Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 19 daripadanya adalah kakitangan KKM manakala lima lagi petugas kemudahan perubatan swasta.

Dua daripada kakitangan KKM tersebut kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), katanya lagi.

“Punca mereka semua terbabit bukan kerana ketidakpatuhan mereka ketika mengendalikan Covid-19.

“Siasatan mendapati mereka semua merupakan kontak rapat dengan generasi pertama dan kedua (pesakit Covid-19) yang berkaitan dengan kluster jemaah tabligh,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Malaysia mencatatkan enam kematian akibat jangkitan Covid-19 setakat ini.

Selain itu, jumlah pesakit yang dimasukkan ke ICU setakat ini meningkat kepada 37, dengan 23 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.

Noor Hisham sekali lagi menegaskan agar pesakit yang datang membuat ujian saringan tidak menyembunyikan maklumat penting, terutama jika ada kontak rapat dengan jemaah tabligh, hadir sebagai peserta himpunan di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur atau memiliki sejarah perjalanan ke luar negara.

“Saya ingin ingatkan kepada sesetengah pesakit generasi pertama atau kedua yang berkaitan dengan jemaah tabligh, atau mempunyai kontak rapat dengan mereka yang positif (Covid-19), apabila datang ke klinik atau hospital, tolong dedahkan sejarah (maklumat penting).

“Kadang-kadang ia disembunyikan. Apabila ia disembunyikan, ia memberi risiko kepada kakitangan kesihatan kami kerana kami tidak bersedia (dengan peralatan) dan jangkitan,” katanya.

'Tak adil buat kakitangan KKM'

Beliau membangkitkan beberapa kes yang dihadapi petugas kesihatan, di mana pesakit tidak mendedahkan maklumat penting, seperti mempunyai kontak dengan peserta himpunan Tabligh yang disahkan positif Covid-19.

“Jadi kita perlu menutup wad, bilik bedah, dan lakukan kerja pembersihan. Kakitangan kami perlu melepasi proses saringan untuk pastikan mereka bebas daripada jangkitan.

“Dan apabila mereka disahkan negatif, mereka perlu mengkuarantin diri mereka selama 14 hari.

“Saya rasa tidak adil perkara ini (menyembunyikan maklumat penting) dilakukan kepada kami di KKM dengan meletakkan kami dalam risiko,” katanya.

Jika perkara seumpama itu berlaku lagi, kata Noor Hisham, kakitangan KKM boleh membuat laporan polis.