Skip to main
Logo Malaysiakini

LZNK peruntuk RM7 juta bantu asnaf terjejas dengan Covid-19

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyediakan peruntukan lebih RM7 juta untuk diagih kepada golongan sasar di negeri itu yang terkesan akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan dan penularan wabak Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Syeikh Zakaria Othman berkata peruntukan itu, yang telah mendapat perkenan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, akan membantu golongan asnaf dan mereka yang berpendapatan kecil meneruskan kelangsungan hidup.

"Ia dijangka memanfaatkan lebih 90,244 keluarga. Ketika ini LZNK juga berusaha mengagihkan sejumlah 57,600 kampit beras serta 172,800 tin sardin kepada 576 masjid di negeri ini yang menjadi Pusat Bekalan Makanan Fakir dan Miskin Zakat Kedah.

"Agihan ini adalah tambahan kepada 17,280 set agihan bulanan terhadap bekalan makanan sedia ada yang akan memberi manfaat kepada 74,880 keluarga. LZNK akan terus memantau dan menambah bekalan dari semasa ke semasa untuk memastikan rakyat Kedah tidak terputus bekalan makanan," menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Syeikh Zakaria berkata agihan bantuan bulanan kepada 15,364 orang, yang keseluruhan berjumlah lebih RM4 juta, bagi bulan ini akan diawalkan daripada tarikh biasa bagi membantu penerima.

Beliau berkata LZNK turut memperuntuk sejumlah RM340,000 untuk membeli tiga unit alat bantuan pernafasan seperti yang dipohon pusat rawatan Covid-19 negeri yang berpusat di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.

Katanya LZNK juga, dari semasa ke semasa, akan membantu menyediakan peralatan lain bagi menghadapi Covid-19, antaranya membekalkan keperluan mendesak seperti pakaian keselamatan petugas kesihatan.

Syeikh Zakaria berkata Sultan Kedah juga telah memberi perkenan kepada LZNK untuk membantu menjaga kebajikan golongan petugas kesihatan dan keselamatan yang menjadi benteng hadapan dalam menghadapi Covid-19.

"Bagi tujuan ini, pihak LZNK akan mengagihkan sesegera mungkin makanan tambahan kesihatan seperti vitamin dan ubat-ubatan bersesuaian yang dicadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya lagi.

-Bernama