Skip to main
Logo Malaysiakini

Media sosial tapak baru gerai pekebun, peniaga

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Laman sosial menjadi medium pengiklanan utama peniaga dan pekebun bagi mencari pembeli selepas tidak dapat membuka gerai ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac lalu.

Seorang pekebun di Kampung Ubai, Pekan dekat Kuantan Ain Izuddin Mohd Ghazali, 25, berkata Twitter peribadinya menjadi 'gerai dalam talian' ekoran lambakan tembikai di kebunnya selepas dinasihatkan pihak berkuasa untuk menutup tapak perniagaan di jalan utama Pekan-Kuantan, Rabu lalu.

"Saya tidak marah dengan arahan menghentikan perniagaan kerana faham situasi ini melibatkan nyawa. Tapi saya sedih melihat buah hasil keringat saya terbuang begitu sahaja kerana buah yang telah dituai hanya bertahan 10 hari.

"Mahu tak mahu saya memuat naik ciapan di Twitter semalam dan tidak sangka ia tular disebabkan ramai yang membantu retweet (ulang ciap). Hari ini saya menerima banyak panggilan daripada mereka yang hendak membeli," katanya semasa dihubungi Bernama di Kuantan, hari ini.

Ain Izuddin berkata dia masih lagi mempunyai kira-kira tiga tan buah yang menunggu masa untuk dipetik, dan ia merupakan tuaian kedua sejak mula mengusahakan kebun sendiri setahun lalu, selepas tiga tahun ‘menimba ilmu’ di kebun orang.

Ain Izuddin yang menggunakan akaun Twitter @PaakDiin berkata ada dalam kalangan pembeli itu datang dari Selangor, Terengganu, Johor dan Melaka namun dia mempunyai kekangan aspek pengangkutan kerana menggunakan Perodua Kembara untuk menghantar buah.

Ciapan itu juga mendapat perhatian sebuah agensi berkaitan pertanian menyebabkan wakil yang hadir ke kebunnya hari ini, berhasrat membantu mendapatkan sebuah lori untuk dia menghantar buah kepada pembeli yang berada jauh dari daerah Pekan dan Kuantan.

"Saya tidak menyangka ciapan itu amat membantu. Saya juga membantu beberapa pekebun tembikai di sini yang berdepan masalah sama kerana kami jangkakan pengeluaran tembikai untuk dua ke tiga minggu akan datang boleh mencecah 10 tan," katanya.

Sementara itu, peniaga sate di Felda Mempaga, Bentong Mohd Shezri Ashraf Sharuddin, 27, berkata ini adalah kali pertama keluarganya tidak boleh berniaga di pasar malam, sejak ayahnya memulakan perniagaan itu 30 tahun lalu.

Galak bayar cara atas talian

"Kami terpaksa mencari alternatif kerana tidak mahu menanggung kerugian yang banyak ekoran bahan basah untuk membuat sate telah sedia dibeli sebelum kerajaan mengumumkan perintah itu yang turut menyatakan tiada pasar malam dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaannya.

"Adik mencadangkan kami cuba iklankan di Twitter dan Facebook. Alhamdulillah reaksi diterima amat baik dan untuk hari ini, kami menerima tempahan sebanyak 2,000 cucuk. Jumlah ini cukup baik walaupun tidak seperti selalu," katanya.

Mohd Shezri Ashraf berkata sebagai langkah berwaspada, mereka akan menghantar sate secara percuma ke rumah pelanggan dan tidak mewujudkan 'pusat berjumpa' kerana tidak mahu orang ramai berhimpun, selain menggalakkan pelanggan membuat bayaran secara online.

Walaupun mereka terpaksa 'bekerja dan menanggung kos lebih' menghantar sate sekitar daerah Bentong, namun ia lebih baik daripada mengambil risiko yang boleh membawa kepada penularan virus Covid-19.

"Kami merancang perjalanan dan jadual kerja dengan cermat supaya tidak perlu ke tempat berhampiran dua atau tiga kali. Kami juga perlu memastikan semua sate sampai ke pelanggan sebelum 6 petang kerana di Bentong, kami tidak boleh berniaga bermula 7 malam," katanya.

Mohd Shezri Ashraf berkata setakat ini, keluarga membuat keputusan untuk meneruskan penggunaan media sosial dalam operasi perniagaan mereka sehingga dibenarkan kembali berniaga di pasar malam.

- Bernama