Skip to main
Logo Malaysiakini

Perompak antarabangsa letupkan ATM di Saudi, larikan RM1.6j

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

GLOBAL | Polis Arab Saudi menahan lima daripada 11 anggota geng perompak yang meletupkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Al-Jazirah, selatan Riyadh.

Perompak terbabit kemudian melarikan diri bersama wang tunai bernilai SR 1.4 juta (RM1.6 juta) dalam kejadian pada 15 Feb lalu.

Menurut jurucakap polis Riyadh, Shaker Sulaeiman Al-Tuwaijri, enam suspek lain sempat melarikan diri dari Arab Saudi selepas melakukan rompakan tersebut.

“Pasukan pakar siasatan jenayah Saudi telah mengenal pasti 11 lelaki terbabit dalam rompakan bank itu,” katanya seperti dipetik Saudi Gazette semalam.

Tambah Shaker lagi, geng perompak itu membabitkan beberapa lelaki warga asing, termasuk empat dari Mesir dan masing-masing seorang dari Bulgaria, Rusia dan Yaman.

“Lima orang yang ditahan telah ditangkap bersama kenderaan dan alat yang digunakan untuk menjalankan aktiviti rompakan itu berserta SR700,000 wang curi.

“Pihak berkuasa juga sedang berusaha untuk membawa pulang enam lelaki yang melarikan diri dari Arab Saudi dan mengembalikan wang yang masih ada," katanya.