Skip to main
Logo Malaysiakini

14 rakyat Malaysia selamat dibawa pulang dari Iran

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Seramai 46 rakyat Malaysia serta sembilan rakyat negara jiran dibawa pulang dari Iran menerusi siri ketiga Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) susulan penularan wabak COVID-19 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini.

Pesawat khas AirAsia misi HADR yang digerakkan kerajaan Malaysia itu tiba di KLIA pada 6.34 pagi dari Tehran, dengan turut membawa lapan rakyat Singapura serta seorang rakyat Indonesia, demikian menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)

Turut serta dalam penerbangan adalah lima kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Luar (dua orang), krew AirAsia (16 orang) dan seorang pegawai NADMA.

Kesemua 55 penumpang rakyat Malaysia serta tanggungan dan bukan warganegara itu menjalani proses saringan di Unit Kecemasan Udara (ADU), KLIA sebelum dihantar ke Pusat Pemantauan.

Mereka akan melalui tempoh kuarantin 14 hari di ke Akademi Audit Negara di Bandar Enstek, Nilai Negeri Sembilan.

Tindakan operasi nyahcemar dilaksanakan dengan gabungan 240 anggota daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, KKM, ResQ bencana, NADMA, Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA, dan Keselamatan Penerbangan (AVSEC).

Sebelum ini, Kementerian Luar, NADMA, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lain-lain agensi yang berkaitan, bekerjasama untuk melaksanakan repatriasi itu.

- Bernama