Skip to main
Logo Malaysiakini

Perlis umum panduan urus jenazah korban Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengumumkan panduan pengurusan jenazah pesakit Covid-19 muslim di negeri Perlis.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah panduan pengurusan jenazah pesakit Covid-19 muslim dibuat berdasarkan panduan dan irshad Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Menurut titah perutusan baginda yang disiarkan oleh pihak MAIPs, tajhiz janaiz (pengurusan jenazah) bagi memandikan dan mengkafankan hendaklah diuruskan di hospital atau di mana-mana premis yang dibenarkan oleh pihak berkuasa dengan nasihat dan panduan keselamatan daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pengurusan hendaklah dilaksanakan dengan pengecualian dan kelonggaran (rukhsah) kerana terdapat keadaan yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskannya.

Dalam hal ini, dibolehkan jenazah diuruskan melalui proses paling ringan risiko dan bahayanya dengan melaksanakan tayammum pada bahagian muka dan pergelangan tangan di beg jenazah atau pembalut plastik yang membaluti jenazah tersebut.

Proses kafan adalah memadai dengan balutan kain yang telah dilaksanakan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia pada jenazah berkenaan.

Solat jenazah hendaklah ditunaikan dengan kehadiran imam dan beberapa ahli keluarga terdekat sahaja sebagai memenuhi kewajipan fardu kifayah.

- Bernama