Skip to main
Logo Malaysiakini

N Sembilan had tempoh premis kedai makan, kedai serbaneka, stesen minyak

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Semua premis makan, restoran, gerai makan tepi jalan dan perniagaan kenderaan saji di Negeri Sembilan hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 7.00 pagi sehingga 8.00 malam berkuat kuasa Selasa ini sehingga 31 Mac depan.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata turut dihadkan operasi perniagaan ialah semua pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka termasuk yang beroperasi 24 jam.

“Semua stesen minyak, termasuk kedai serbaneka di dalam stesen itu dibenarkan beroperasi dari pukul 6.00 pagi hingga 8.00 malam manakala semua pasar awam dibenarkan beroperasi mulai pukul 6.00 pagi sehingga 12 tengah hari.

“Semua pasar malam, pasar tani dan dan pasar pagi tidak dibenarkan beroperasi. Penyelarasan jadual operasi premis perniagaan ini berkuatkuasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan di Seremban, hari ini.

Pada 16 Mac lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddn Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP bermula 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, Aminuddin berkata peruntukan RM100,000 yang diterima daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) oleh Jawatankuasa Kerja Keselamatan Daerah di semua daerah di negeri ini akan diagih dalam masa terdekat.

“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberi peruntukan tambahan khas RM100,000 sebagai bantuan kepada petugas dan keperluan lain semasa penularan COVID-19 ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap semua rakyat di negeri ini memberikan kerjasama dengan mengikut segala arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa.

- Bernama