Skip to main
Logo Malaysiakini

Ujian saringan Covid-19 Dr M negatif

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad disahkan negatif Covid-19, selepas dilaporkan menjalani kuarantin di rumah secara sukarela susulan kontak rapat dengan salah satu kes virus tersebut.

Meskipun begitu, menurut pembantunya, pemimpin berusia 95 tahun itu akan meneruskan tempoh kuarantin selama 14 hari, seperti garis panduan pencegahan penularan wabak tersebut.

“Ujian (saringan) negatif. Beliau bebas (Covid-19),” kata pembantunya, seperti dilapor The Star Online.

Sebelum ini, ahli parlimen Langkawi itu dilaporkan bergambar dengan anggota Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, yang kini dirawat di hospital di Sarawak selepas didapati positif Covid-19.

Menurut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), individu yang mempunyai kontak rapat dengan kes Covid-19 yang disahkan perlu menjalani ujian untuk penyakit berkenaan.

Mereka akan diarah menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari, jika tidak menunjukkan gejala dan persekitaran rumah mereka dianggap sesuai untuk kuarantin.

Jika tidak, mereka boleh diterima masuk ke hospital.

Kontak rapat dengan kes yang disahkan juga akan dimasukkan ke hospital jika mereka diuji positif, atau jatuh sakit semasa tempoh kuarantin.