Polis: Tak betul semua warga P Pinang dilarang ke tanah besar
Ketua Polis Pulau Pinang Timur Laut Soffian Santong menafikan laporan yang menyatakan bahawa "warga Pulau Pinang yang tinggal di bahagian pulau negeri itu dinasihatkan untuk tidak ke tanah besar tanpa alasan yang sah".
Soffian memberitahu wartawan hari ini bahawa orang atasannya telah memaklumkan kepadanya mengenai kenyataannya di Malay Mail, yang "tidak tepat".
Beliau berkata kenyataannya telah disalah tafsir dalam laporan itu.
"Tafsiran itu salah.
"Apabila kita melakukan sekatan jalan raya, kita tidak akan membenarkan mereka (pergi ke tanah besar) tanpa sebab atau sebab yang tidak boleh diterima, tidak dibenarkan untuk menggunakan jalan utama, atau mereka yang sengaja melakukan perjalanan untuk bersuka-suka atau pergi mencari makanan, contohnya ke Bukit Mertajam," kata Soffian.
"Kami (polis) tidak melarang semua orang, larangan itu hanya untuk mereka yang tidak mempunyai alasan yang sah," katanya.
"Kami tidak mahu orang mendapat gambaran yang salah bahawa kita tidak membenarkan orang ramai pergi ke tanah besar (Seberang Perai)," katanya.
Portal Malay Mail sebelum ini melaporkan Soffian sebagai berkata bahawa polis akan melakukan sekatan jalan di pintu masuk jambatan Pulau Pinang dan tidak membenarkan mereka tanpa alasan yang sah untuk memandu ke Seberang Perai.
Soffian dilaporkan berkata demikian pada sidang akhbar ringkas ketika hadir memeriksa salah satu sekatan jalan di pulau itu di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
Beliau dipetik sebagai berkata hanya mereka yang dapat memberikan alasan yang sah seperti mereka yang bekerja di sektor perkhidmatan penting dengan bukti akan dibenarkan pergi ke tanah besar.
Malaysia kini mencatat 10 kes kematian akibat Cobid-18. Kes kematian terbaru melibatkan pesakit kes ke-259, seorang lelaki berusia 74 tahun di Pulau Pinang yang mempunyai kaitan dengan kluster perhimpunan tabligh.
Pesakit berkenaan meninggal dunia pada jam 4 petang tadi, dan merupakan keenam dari kluster perhimpunan tabligh.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai