Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Perintah "lockdown" di New Delhi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KORONAVIRUS l New Delhi yang didiami kira-kira 20 juta penduduk, berada di bawah perintah "lockdown" (perintah berkurung) selama seminggu mulai Isnin sebagai langkah drastik untuk membendung rantaian jangkitan Covid-19.

"Keadaan yang luar biasa memaksa tindakan luar biasa dilaksanakan. New Delhi berada di bawah perintah "lockdown" sehingga 31 Mac," kata Ketua Menteri New Delhi, Arvind Kejriwal.

India melaporkan hampir 400 kes disahkan setakat ini, menurut temu bual media tempatan dengan doktor, meramalkan keadaan mungkin akan lebih serius.

New Delhi mencatatkan 27 kes sehingga Ahad, dengan enam kes merupakan jangkitan antara komuniti.

Pihak berkuasa persekutuan dan negeri mengumumkan penggantungan perkhidmatan pengangkutan dan penutupan pasar, sekolah, panggung wayang dan tempat-tempat awam lain.

Hanya seperempat perkhidmatan pengangkutan awam beroperasi untuk mengangkut kakitangan perkhidmatan kesihatan, makanan, bekalan air dan elektrik.

Semua penerbangan antarabangsa dan perkhidmatan kereta api juga digantung, menyaksikan 1.3 bilion penduduk terjejas.

Negeri seperti Andhra Pradesh, Punjab, Telangana, Bihar dan Uttarakhand, turut menguatkuasakan perintah lockdown. Sebanyak 75 daripada 700 wilayah turut dikenakan langkah sama.

- Bernama