Skip to main
Logo Malaysiakini

Isma cabar undang-undang berkaitan sekolah Cina, Tamil

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menyertai beberapa kumpulan lain memfailkan saman bagi mencabar kewujudan sekolah vernakular dari sudut perlembagaan di Malaysia.

Melalui firma guaman Tetuan Raja Riza & Associates, Isma memfailkan writ saman di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Januari lalu.

Menurut salinan dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini pagi ini, pengerusi Isma Aminuddin Yahaya yang bertindak bagi pihak NGO tersebut adalah plaintif manakala menteri pendidikan dan kerajaan Malaysia dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.

Selain itu, kenyataan tuntutan tersebut juga mendakwa penubuhan sekolah-sekolah vernakular sebagai tidak berperlembagaan dan terbatal di sisi undang-undang kerana peruntukan berkaitan di bawah Akta Pendidikan menyalahi Perlembagaan Persekutuan.

Undang-undang yang dirujuk Isma ialah Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 yang memberi kuasa kepada menteri pendidikan untuk menubuhkan sekolah kebangsaan dan vernakular serta Seksyen 17 akta sama yang mengecualikan sekolah vernakular daripada menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.

Selain itu, Isma turut mendakwa kedua-dua peruntukan itu bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang antara lainnya menyebut Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Isma juga mendakwa, Perkara 152 memerlukan Bahasa Malaysia digunakan bagi tujuan rasmi oleh pihak berkuasa awam seperti kedua-dua defendan.

Pihak plaintif mendakwa, ia diperkuatkan lagi apabila peruntukan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 menyebut antara lainnya bahawa bahasa kebangsaan perlu digunakan untuk tujuan rasmi.

“Penubuhan sekolah vernakular adalah tidak berpelembagaan dan tidak sah di sisi undang-undang.

“Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 adalah bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan disebabkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak digunakan sebagai bahasa rasmi bagi pengantar.

“Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 adalah terbatal dibawah peruntukan Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan disebabkan kedua-dua peruntukan tersebut (Seksyen 17 dan 28) adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” kata Isma.

Perkara 4(1) menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.

Selain itu, Isma turut memohon tiada perintah untuk kos kerana ia melibatkan isu kepentingan awam.

[Baca berita penuh]