Skip to main
Logo Malaysiakini

Kegiatan penyeludupan di Sungai Golok lumpuh

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kes penyeludupan di sepanjang Sungai Golok yang memisahkan Malaysia-Thailand kini lumpuh sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan mulai 18 Mac lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA), Supt Azhari Nusi, berkata pihaknya melakukan kawalan dan operasi di 88 pangkalan haram di sepanjang tebing Sungai Golok bagi memastikan tiada pergerakan berlaku melibatkan masyarakat di kawasan tersebut.

"Seperti kita dapat lihat semasa rondaan hari ini, tiada sebarang pergerakan sama ada pencerobohan manusia atau penyeludupan berlaku.

"Sepanjang tempoh ini keadaan tenang dan terkawal, tidak ada berlaku pencerobohan dan kita pun dah beritahu, sekiranya ada, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Polis 1967," katanya pada sidang media selepas rondaan bersama media dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di Pos Kawalan PGA Pulau Pak Hitam, Pasir Mas, hari ini.

Terdahulu, Azhari bersama petugas media menaiki dua bot milik Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor membuat tinjauan dari Jeti Pengkalan Kubor, Tumpat ke Pegkalan Jeram Perdah, Rantau Panjang.

Perjalanan sepanjang kira-kira 20.5km itu melalui sungai berkenaan didapati tenang tanpa sebarang kelibat bot merentas.

Sementara itu Azhari berkata, PGA turut menambanh kekuatan pegawai dan anggota untuk bertugas sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan yang akan berakhir pada 31 Mac nanti.

Katanya, biasanya kawalan di kawasan sempadan itu melibatkan 372 anggota namun kini ditambah kepada 458 orang.

Azhari Nusi

"Antara bentuk penugasan yang dijalankan seperti rondaan berjalan, bermotosikal, berkereta, sekatan jalan raya, sekat pintas dan risikan sempadan.

"Rondaan bot juga merupakan salah satu bentuk penugasan yang dijalankan oleh pihak PGA di Op Wawasan Kelantan menerusi kerjasama polis marin.

"Tujuannya bagi memastikan perairan sempadan Malaysia-Thailand sentiasa berada dalam keadaan yang selamat," jelasnya.

Menurutnya lagi PGA berharap masyarakat terus memberi kerjasama dan mematuhi arahan kerajaan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.