Skip to main
Logo Malaysiakini

Ahli akademik AS puji Malaysia tangani Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang ahli akademik warga Amerika Syarikat (AS), yang berada di Malaysia semasa Perintah Kawalan Pergerakan, memuji tindak balas negara dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Profesor Madya Sains Kajian Otak, Neurologi dan Psikologi di Washington University, Missouri, Dr Jason Hassenstab, menjelaskan AS boleh mengambil teladan dari negara lain termasuk Malaysia.

"Beberapa percanggahan yang saya perhatikan antara Malaysia dan AS. Di Malaysia, kami pergi ke empat bandar termasuk Kuala Lumpur, Kota Kinabulu, Lahad Datu dan Sandakan.

"Saya tidak menganggap Malaysia sebagai negara dunia pertama dan memandangkan tahap kemiskinan yang kami lihat, saya rasa itu betul.

"Bagaimanapun, penguatkuasaan Covid-19 di Malaysia diperluaskan di mana-mana, walaupun jauh terpencil, di kawasan hutan hujan tempat kami menginap.

"Pembawa telefon mudah alih menghantar mesej mengenai (langkah) penjarakkan sosial setiap hari. ID di bahagian atas telefon saya biasanya mengatakan 'Sprint' sebaliknya (pada ketika itu) berkata 'Stay Home'," katanya dalam beberapa siri ciapan di Twitter.

Hassenstab, yang terpaksa bergelut dengan kelewatan perjalanan akibat perintah kawalan pergerakan, menyifatkan pengalamannya di Malaysia sebagai "luar biasa tetapi dibuat pada masa yang kurang sesuai".

Menggambarkan senario di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, beliau mengambil maklum para pengawal keselamatan dilihat menguatkuasakan langkah penjarakkan sosial.

"Sepanduk informasi dengan panduan bertulis dan bergambar berada di mana-mana disediakan oleh kementerian kesihatan mereka.

"Bangku-bangku di lapangan terbang telah ditandakan (dengan pita) supaya ada ruang kerusi kosong di antara setiap kerusi.

"Semua pekerja lapangan terbang memakai topeng, pembasmi kuman (sanitiser) tangan kelihatan berada hampir di setiap kaunter, (mesin) daftar tunai, dan di stesen yang ditempatkan di mana-mana.

"Kerajaan mereka mempunyai mesej yang sama sekali konsisten - tinggal di rumah, jaga jarak anda, bersihkan tangan dan seluruh negara melakukannya," katanya.

Sebaliknya, di lapangan terbang Atlanta di Amerika Syarikat, Hassenstab berkata hanya kira-kira lima peratus kakitangan kastam dan kawalan sempadan memakai topeng dan sarung tangan.

"Tiada cecair pembasmi kuman (sanitiser) selain di beberapa bilik mandi. Kedai dan perniagaan beroperasi seperti biasa. Orang ramai bersesak-sesak bersama, tanpa langkah penguatkuasaan menjarakkan diri antara satu sama lain.

"Orang ramai melihat kami dan menggelengkan kepala kerana kami memakai topeng. Dan sebelum anda memberitahu saya bahawa memakai topeng tidaklah terlalu berkesan, kami melakukannya untuk melindungi orang lain sekiranya kami mendapat jangkitan dan menghalang kami daripada menyentuh muka kami terlalu kerap," katanya.

Kata Hassenstab lagi, beliau bersama keluarganya telah terbang melalui Tokyo dan seorang penumpang yang duduk jarak tiga kerusi daripadanya menghidap demam panas, muntah dan lemah badan.

"Para paramedik datang dengan kakitangan Pusat Kawalan Penyakit Penyakit di pintu masuk dan memeriksa dia. Tetapi penumpang lain sekadar pergi melalui kaunter kastam seperti tiada yang berlaku.

"(Isteri saya) Margaret, diri saya dan anak-anak lelaki saya melalui ujian saringan demam kerana kami melaporkan datang dari Malaysia dan Singapura, tetapi itu sahaja," katanya.

Hassenstabl berkata dirinya saja kenal lima orang yang positif Covid-19, dan perkara itu bukan jenaka.

"Orang ramai akan mati secara besar-besaran melainkan langkah-langkah yang ketat diambil. Ini adalah hujah terbaik untuk sistem kesihatan awam yang kuat dan tindak balas kerajaan persekutuan (AS) yang kuat.

"Kami memerlukan mesej yang jelas dan konsisten untuk benar-benar #flattenthecurve (mendatarkan jumlah penularan jangkitan), dan tanpa disebut hal ini menunjukkan mengenai kepimpinan kami bahawa kami perlu mengambil teladan maklum balas seluruh negara kami sebagaimana negara lain seperti Malaysia," katanya.

Malaysia sedang melaksanakan perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac lalu sehingga 31 Mac tetapi mungkin akan dilanjutkan.

Walaupun Malaysia mengekang penularan virus ini daripada tidak terkawal sepanjang tempoh perintah sekatan pergerakan ini, jumlah kes terus meningkat dengan lebih 100 jangkitan sehari.

Kira-kira jam 11.40 pagi tadi, Covid-19 meragut korban terbarunya di Malaysia menjadikan jumlah keseluruhan kematian kepada 11 orang.

Mangsa, warga Malaysia berusia 70 tahun, dirujuk sebagai pesakit kes ke-1,070, mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Setakat petang semalam, sebanyak 1,306 kes positif Covid-19 direkodkan oleh KKM. Sebanyak 22 daripada pesakit kini ditempatkan di ICU dan diberikan alat bantuan pernafasan.

Laman sesawang Worldodometer menyatakan seramai 14,687 orang sudah terbunuh di seluruh dunia akibat virus tersebut setakat ini.

Sehingga kini, AS telah mencatatkan 32,057 kes dengan 400 kematian dan kini merupakan dunia ketiga dari segi bilangan kes, di belakang China dan Itali.