Skip to main
Logo Malaysiakini

PH: Tiada bantuan jelas dalam pengumuman Muhyiddin

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pakatan Harapan (PH) berkata "tiada bantuan jelas" diperuntukkan dalam pengumuman kerajaan untuk membantu meringankan beban rakyat susulan situasi semasa negara.

"Bagi kebanyakan rakyat yang disebut (Perdana Menteri) Muhyiddin Yassin seperti peniaga-peniaga kecil terpaksa tutup kedai, pemandu teksi da n Grab kehilangan pelanggan, pekerja bergaji harian tidak menerima gaji, sebenarnya tiada apa bantuan yang jelas telah diperuntukkan kepada mereka dalam pengumuman ini.

"Mereka yang dibenarkan mengeluar simpanan KWSP sendiri harus menyedari bahawa sebenarnya ini bukan bantuan tetapi adalah diambil dari simpanan hari tua hasil tabungan sendiri," kata Majlis Setiausaha PH dalam kenyataan media hari ini,

Kenyataan itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dan Pengarah Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Sebaliknya, PH mencadangkan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberikan dana kecemasan kepada penerima BSH sebanyak RM1,000 masing-masing untuk bulan Mac dan April.

"Kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan sebanyak RM8.2 billion (bagi melaksanakan bantuan ini).

"Cara ini adalah pendekatan yang paling cepat untuk membantu mereka yang paling terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan," kata kenyataan itu.

PH bagaimanapun berkata pihak mereka menyambut baik kenyataan Muhyiddin untuk menangani cabaran terkini tanpa mengira fahaman politik dengan memberi peruntukan kepada kerajaan negeri tanpa mengira parti.

"Kerajaan negeri Selangor telah memperuntukkan RM30,000 dan kerajaan negeri Johor RM20,000 kepada Adun di negeri masing-masing tanpa mengira parti untuk tujuan mitigasi COvid-19.

"Kami mencadangkan supaya kerajaan persekutuan memeruntukkan peruntukan kawasan parlimen tanpa mengira parti supaya rakyat dapat beroleh manfaat daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang mereka pilih secara demokratik," katanya.

Terdahulu, PH memuji keputusan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam untuk mengecualikan duti import dan cukai jualan penutup mulut dan hiding yang berkuatkuasa hari ini.

PH mengingatkan kerajaan tentang keperluan untuk mengecualikan cukai peralatan perubatan lain yang digunakan dalam memerangi Covid-19, termasuk ventilator dan peralatan perlindungan peribadi (PPE) seperti sarung tangan.

"Ini akan menggalakkan bekalan peralatan perubatan kritikal melalui pengeluaran tempatan dan melalui import.

"Kami menggesa Jabatan Kastam mempercepatkan proses import bekalan perubatan kritikal untuk membendung kesesakan itu," katanya.

Kenyataan itu juga menyeru agar kerajaan sentiasa mengemas kini jumlah peralatan penting seperti penutup mulut dan hidung, cecair penyahkuman dan kit pemeriksaan, PPE dan ventilator.

Kerajaan baru-baru ini membuat pesanan untuk 10 juta penutup mulut dan hidung bagi mengatasi kekurangan bekalan.

Ramai pihak sebelum ini menggesa kerajaan menyediakan peralatan yang secukupnya kepada barisan depan penjagaan kesihatan selepas tular klip video dan gambar petugas kesihatan yang terpaksa menggunakan plastik sampah kerana kekurangan PPE.