Skip to main
Logo Malaysiakini

Rekod 212 kes baru, jumlah kini 1,518 dengan 14 kematian

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Malaysia mencatatkan 212 lagi kes Covid-19 dalam tempoh 24 jam terakhir, iaitu bilangan tertinggi sejak permulaan wabak itu pada akhir Januari.

Ini membawa jumlah keseluruhan kepada sebanyak 1,518 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 212 kes baru, 123 dikesan daripada kluster perhimpunan Tabligh di Sri Petaling, Kuala Lumpur yang diadakan lewat bulan lalu.

Beliau juga melaporkan empat kematian baru, menjadikan jumlah kematian kepada 14 orang.

Sehingga kini, menurut Dr Noor Hisham, seramai 57 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 27 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

"Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat empat kes kematian baru berkaitan Covid-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 14 kes," katanya dalam satu kenyataan media sebentar tadi.

Menurutnya, kes kematian ke-11 merupakan kes ke-1070 berumur 70 tahun lelaki warganegara Malaysia. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

"Beliau disahkan meninggal dunia pada 22 Mac 2020. Kes kematian ke-12 merupakan kes ke-1114 berumur 70 tahun lelaki warganegara Malaysia yang merupakan jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Jamek Seri Petaling dan dirawat di Hospital Kluang. Beliau disahkan meninggal dunia pada 23 Mac 2020.

"Kes kematian ke-13 merupakan kes ke-1006 berumur 49 tahun lelaki warganegara Malaysia. Beliau yang dirawat di Hospital Umum Sarawak merupakan anak kepada kes ke1031.

Manakala, kes kematian ke-14 merupakan kes ke-595 berumur 51 tahun perempuan warganegara Malaysia yang merupakan kontak rapat dengan kes positif Covid-19 dari kluster tabligh dan dirawat di Hospital Miri.

"Beliau disahkan meninggal dunia pada 23 Mac 2020. KKM ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga kesemua mereka," katanya.

Nor Hisham juga memberitahu bahawa berdasarkan siasatan awal, daripada 212 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 123 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh.

"Sehingga kini, seramai 57 kes positif Covid-19 sedang dirawat di ICU. Daripada jumlah tersebut, 27 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, terdapat 20 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 159 kes.

Dalam perkembangan lain, KKM memaklumkan bahawa isu kekurangan bekalan PPE (Personal protective equipment) kini merupakan satu isu global.

"Pihak KKM telah mengambil pelbagai langkah dalam memastikan bekalan PPE yang mencukupi untuk setiap fasiliti kesihatan melalui penyelarasaan pembekalan bersama Jabatan Kesihatan Negeri.

"Sehingga kini, pihak KKM telah berjaya memperolehi stok bekalan PPE sebanyak 33 juta unit yang dapat menampung penggunaan di semua fasiliti kesihatan dan akan diedarkan dalam minggu ini," katanya.

"Selain daripada itu, pihak kerajaan juga telah menerima sumbangan bekalan PPE daripada pelbagai pihak dan sejumlah 3 juta unit PPE sedang diagihkan ke fasiliti-fasiliti kesihatan mengikut keperluan," tambahnya lagi.